Reuters

Blankenhain(Jerman): Sepanyol sememangnya layak untuk diletakkan sebagai pasukan pilihan untuk menjulang Piala Euro 2024 di Berlin namun harus diingatkan bahawa England mempunyai senjata rahsia dan banyak pilihan di jentera serangan kata Ollie Watkins.

Watkins wira England selepas dia dimasukkan sebagai pemain simpanan menjaringkan gol kemenangan dramatik pada maa kecederaan sekali gus membawa England ke pentas final Euro 2024.

Namun, Watkins berkata, harus diingatkan bahawa Sepanyol mengharungi laluan yang cukup sukar untuk menempah slot final.

"Mereka perlu melalui perjalanan yang lebih sukar daripada kami menentang Itali, Jerman dan Perancis iaitu pasukan digelar gergasi dalam saingan Euro 2024. Saya rasa mereka mungkin pasukan terbaik dalam kejohanan ini.

"Pemain sayap untuk Sepanyol sangat dinamik, muda, penuh keyakinan namun situasi itu juga sama dalam pasukan kami kerana mempunyai pemain berbakat bertaraf antarabangsa. Harapan adalah kami dapat menyelesaikan tugasan ini," kata Watkins.

Mengenai pemain muda berbakat Sepanyol Lamine Yamal yang menjaringkan gol menakjubkan untuk membantu kemenangan 2-1 mengatasi Perancis di peringkat separuh akhir, Waktkins berkata dia adalah individu luar biasa.

"Semua melihat apa yang dia boleh lakukan. Ia tidak selalunya anda menjaringkan gol menentang Perancis di sudut atas pada separuh akhir Euro apabila kamu berusia 16 tahun. Dia telah menguasai dunia dan berada jauh di hadapan saya ketika saya berumur 16 atau 17 tahun."

Namun, Watkins, 28, masih menikmati peranannya untuk membawa England ke final dalam apa yang dilihat sebagai penampilan keduanya pada kejohanan itu.

Golnya digambarkan sebagai ikonik berikutan meletakkan England di pentas final kejohanan besar.

"Saya menontonnya beberapa kali apabila saya kembali ke penginapan. Saya sentiasa melihat kembali gol saya, anda tahu, setiap kali saya menjaringkan gol menentang pasukan lawan namun kali ini saya menonton lebih beberapa kali daripada biasa," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 13 Julai 2024 @ 3:08 AM