SIKAP terlalu melindungi boleh menyebabkan anak-anak menjadi terlalu bergantung kepada ibu bapa. - FOTO Freepik
SIKAP terlalu melindungi boleh menyebabkan anak-anak menjadi terlalu bergantung kepada ibu bapa. - FOTO Freepik
Muhamaad Razis Ismail


Tidak dinafikan setiap ibu bapa mempunyai naluri sentiasa ingin melindungi anak-anak daripada berdepan sebarang risiko dan bahaya.

Bagaimanapun dalam situasi itu, segelintir ibu bapa yang keterlaluan dalam memberi perlindungan boleh memberi kesan kepada perkembangan anak-anak.

Mungkin ibu bapa tidak menyedari, tindakan mereka yang terlalu melindungi sebenarnya mengongkong dan menyebabkan ketidakselesaan anak-anak sekali gus menghalang perkembangan mereka.

Timbalan Dekan, Fakulti Pengurusan, Pendidikan dan Kemanusiaan, Kolej Universiti Antarabangsa MAIWP (UCMI), Mohd Shawani Ahmad Sabri berkata, melindungi perlu dilakukan dengan cara yang tidak menghalang perkembangan keyakinan diri dan kemahiran hidup mereka.

Beliau berkongsi beberapa kesan negatif terhadap perkembangan dan keyakinan diri anak-anak, apabila ibu bapa mempunyai sikap terlalu melindungi.

1. Kekurangan keyakinan diri

Anak-anak yang dibesarkan dalam suasana yang terlalu dilindungi mungkin akan kurang yakin dengan kemampuan diri sendiri. Mereka sering kali ragu-ragu untuk mencuba perkara baru kerana takut gagal atau membuat kesilapan.

 

2. Kebergantungan yang tinggi

Sikap terlalu melindungi boleh menyebabkan anak-anak menjadi terlalu bergantung kepada ibu bapa dalam membuat keputusan atau menyelesaikan masalah. Ini boleh menghalang mereka daripada belajar menjadi lebih berdikari.

PERLINDUNGAN berlebihan boleh menyebabkan anak-anak merasa tertekan atau cemas. - FOTO Freepik
PERLINDUNGAN berlebihan boleh menyebabkan anak-anak merasa tertekan atau cemas. - FOTO Freepik

MELINDUNGI perlu dilakukan dengan cara yang tidak menghalang perkembangan keyakinan diri dan kemahiran hidup mereka. - FOTO Freepik
MELINDUNGI perlu dilakukan dengan cara yang tidak menghalang perkembangan keyakinan diri dan kemahiran hidup mereka. - FOTO Freepik

3. Kurang kemahiran penyelesaian masalah

Anak-anak yang tidak diberi peluang untuk menghadapi cabaran atau kesulitan sendiri mungkin akan kurang kemahiran dalam menyelesaikan masalah. Mereka tidak terbiasa menghadapi dan menyelesaikan masalah secara mandiri.

4. Stres dan kebimbangan 

Perlindungan yang berlebihan boleh menyebabkan anak-anak merasa tertekan atau cemas kerana merasakan tidak mampu untuk memenuhi harapan ibu bapa. Ini juga boleh menyebabkan mereka kurang berani mengambil risiko yang sihat.

5. Hubungan sosial yang terhad

Anak-anak yang terlalu dilindungi mungkin kurang berpeluang untuk berinteraksi dengan rakan sebaya mereka. Ini boleh menjejaskan perkembangan kemahiran sosial dan kemampuan mereka untuk bergaul dengan orang lain.

6. Kurang kreativiti dan keberanian untuk mencuba

Sikap terlalu boleh menghalang kreativiti dan inovasi dalam diri anak-anak. Mereka mungkin kurang berani untuk berfikir di luar kotak atau mencuba idea-idea baru kerana takut akan kegagalan atau kritikan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 13 Julai 2024 @ 6:43 AM