Ghazali Othman (kiri) dan Ramli Ahmad (kanan) menerima cenderahati daripada Sulaiman Md Ali pada majlis perasmian Sekolah Rendah Agama (SRA) Ujong Padang, Kuala Sungai Baru Masjid Tanah. FOTO Hassan Omar
Ghazali Othman (kiri) dan Ramli Ahmad (kanan) menerima cenderahati daripada Sulaiman Md Ali pada majlis perasmian Sekolah Rendah Agama (SRA) Ujong Padang, Kuala Sungai Baru Masjid Tanah. FOTO Hassan Omar
Hassan Omar


Masjid Tanah: Pahala mewakafkan tanah untuk pembinaan sekolah agama amat besar ganjarannya dan ia mengalir bagaikan sungai tanpa henti.

Amalan saham akhirat itu menjadi pegangan adik-beradik Allahyarhamah Siti Mariah Shamsudin yang meninggal dunia beberapa tahun lalu yang sempat mewakafkan tanah seluas kira-kira 0.8 hektar milik arwah di Kampung Ujong Padang, Kuala Sungai Baru, di sini untuk diserahkan kepada Majlis Agama Islam Melaka (MAIM).

Anak saudara arwah Siti Mariah, Datuk Ghazali Othman, 62, berkata, Allahyarhamah tidak mempunyai anak kerana tidak pernah berkahwin dan selepas kematiannya, beberapa adik-beradiknya mengadakan perbincangan.

"Mereka akhirnya sebulat suara mewakafkan tanah seluas kira-kira 0.8 hektar itu kepada MAIM selepas mendengar berita MAIM sedang berusaha mendapatkan tanah untuk membina sekolah agama.

"Alhamdulillah, sekarang sudah terbina Sekolah Rendah Agama (SRA) Ujong Padang yang memberi manfaat kepada anak kampung menimba ilmu Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (KAFA)," katanya ketika ditemui selepas majlis perasmian sekolah berkenaan oleh Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md Ali di sini, tadi.

Pada majlis itu, Sulaiman menyampaikan penghargaan kepada Ghazali dan adik ipar arwah Siti Mariah, Ramli Ahmad, 76.

Sekolah berkenaan dibina JAIM dengan kos kira-kira RM2 juta dan mula beroperasi sebulan lalu bagi memberikan kemudahan pembelajaran KAFA kepada lebih 200 murid.

Ghazali berkata, waris arwah Siti Mariah bersetuju menamakan sekolah itu sebagai SRA Ujong Padang Haji Shamsuddin sempena mengambil nama bapa arwah Siti Mariah.

"Kami berdoa amal jariah atas nama arwah Siti Mariah diberikan ganjaran bak sungai yang mengalir selama sekolah itu dimanfaatkan anak kampung," katanya.

Sementara itu, Sulaiman mengucapkan terima kasih kerajaan negeri kepada keluarga pewakaf kerana bermurah hati membantu menyediakan tapak pembinaan sekolah.

"Alhamdulillah, tanah yang diwakafkan oleh waris arwah Siti Mariah membantu meringankan beban MAIM mendapatkan tanah untuk membina sekolah agama," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 27 April 2021 @ 4:50 PM