BERJAYA merealisasikan impian memiliki meja makan yang berasaskan kayu pokok getah selepas enam bulan menunggu.
BERJAYA merealisasikan impian memiliki meja makan yang berasaskan kayu pokok getah selepas enam bulan menunggu.
Muhamaad Razis Ismail

 

Siapa sangka dengan menggunakan perabot terpakai, anda masih boleh menata hias kediaman dengan konsep yang diidamkan.

  Kelebihan perabot terpakai, selain boleh dibeli dengan harga mampu milik dan mempunyai ketahanan yang tinggi, anda berpeluang menemui reka bentuk unik dan menarik yang sukar ditemui di pasaran.

  Ia dibuktikan Ku Noorshahida Ku Isa, 36, yang menggunakan hampir 100 peratus perabot terpakai untuk kediaman miliknya dan suami di Kajang, Selangor.

  Dengan mengetengahkan konsep vintaj Inggeris, Ku Noorshahida aktif berkongsi berkenaan dekorasi kediamannya yang menggunakan perabot terpakai di Instagram.

  Antara perabot terpakai yang dimiliki termasuk sofa, set meja makan, rak rotan, almari dan katil.

  Ku Noorshahida berkata, dia lebih cenderung memilih perabot terpakai kerana sukakan konsep vintaj Inggeris yang menggunakan material kayu yang lebih tahan lama dan lasak.

  Katanya, dia selalu memilih perabot terpakai berwarna putih ala vintaj Inggeris ,kayu dan rotan.

  "Saya memilih perabot terpakai yang berkualiti dan lasak supaya ia boleh digunakan untuk tempoh yang lebih lama. Tambahan pula saya yang tinggal di kediaman bertingkat, sukar untuk melupuskan perabot yang mudah rosak.

   "Malah saya akui ada segelintir masyarakat yang beranggapan perabot dan item terpakai ini sudah rosak dan uzur namun bagi saya, semuanya ada nilai sentimental yang tersendiri dan anda boleh sahaja temui perabot yang masih elok," katanya.

  Menurutnya, antara perabot terpakai yang dimiliki adalah sofa tiga tempat duduk bersaiz kecil dan set meja makan kerana saiz yang sangat sesuai untuk diletakkan di ruang tamu dan ruang makan.

PERABOT terpakai mempunyai keunikan dan nilai sentimental kepada Ku Noorshahida.
PERABOT terpakai mempunyai keunikan dan nilai sentimental kepada Ku Noorshahida.

PERABOT terpakai sesuai dengan konsep vintaj Inggeris yang diketengahkan.
PERABOT terpakai sesuai dengan konsep vintaj Inggeris yang diketengahkan.

KU Noorshahida (kiri) bersama ahli keluarganya.
KU Noorshahida (kiri) bersama ahli keluarganya.

  "Bagi saya, rak rotan tiga tingkat terpakai adalah koleksi kesayangan kerana dibeli dengan harga yang jauh lebih murah. 

  "Di dalam rak itu saya letakkan bakul rotan untuk dijadikan sebagai tempat simpanan mainan anak-anak," katanya.

  Katanya, kebiasaannya, dia dan suami akan 'menyelam' di kedai terpakai berdekatan untuk mencari perabot yang bersesuaian apabila mempunyai masa terluang.

  "Sebelum membuat sebarang pembelian, kami akan amat titik beratkan elemen warna, kualiti, rekaan dan saiz yang bersesuaian dengan kediaman untuk mengelakkan pembaziran," katanya.

  Dia mengakui untuk mendapatkan perabot terpakai yang diinginkan bukan mudah kerana ia menuntut kesabaran dan kesungguhan yang tinggi.

  "Antara pengalaman yang tidak boleh dilupakan apabila saya dan suami sanggup menunggu selama beberapa bulan untuk mendapatkan set meja makan yang berasaskan kayu pokok getah

  "Bagi peminat perabot terpakai apabila berjaya memiliki barang idaman, ia memberikan kepuasan dan keseronokan yang sukar untuk digambarkan dengan kata-kata," katanya.

  Ku Noorshahida menasihatkan kepada pemilik kediaman yang ingin mengikut jejak langkahnya supaya tidak mudah berputus asa dan sentiasa meluangkan masa ke kedai perabot terpakai.

  "Kedai perabot terpakai mempunyai kejutan tersendiri. Siapa tahu, anda akan berjaya menemui perabot idaman pada harga mampu milik untuk dijadikan sebagai tarikan utama di kediaman anda," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 13 Julai 2024 @ 6:49 AM