Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari ketika sidang media Malam Anugerah Platform Selangor 2024 (MAPS) di Sunway Resort Hotel. FOTO AZIAH AZMEE
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari ketika sidang media Malam Anugerah Platform Selangor 2024 (MAPS) di Sunway Resort Hotel. FOTO AZIAH AZMEE
Mahani Ishak


Petaling Jaya: Selangor menyasarkan penyertaan sehingga seramai 50,000 perusahaan mikro, kecil, dan sederhana (PMKS) turut serta dalam program Platform Selangor (PLATS) menjelang tahun depan.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari, berkata sasaran itu yakin dicapai berikutan pendaftaran penyertaan terkininya ialah seramai 37,000 ahli sejak diperkenalkan pada Ramadan 2022 ketika negara dalam pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

"Bermula dengan jumlah 500 ahli, seramai 133 daripadanya kekal dalam PLAT iaitu platform promosi dan direktori digital yang dibangunkan kerajaan Selangor bagi membantu peniaga mikro, penjaja serta peruncit kecil mendigitalkan perniagaan, di samping mengatasi cabaran ekonomi disebabkan pandemik COVID-19.

"Menerusi Bazar Ramadan Digital pertama bermula pada 2021, ramai usahawan tertarik kerana PLATS kerana membenarkan golongan itu berniaga, mempromosikan gerai dan kemudahan yang ada melalui platform digital," katanya kepada media, malam tadi.

Terdahulu, beliau hadir Malam Anugerah Platform Selangor (MAPS) yang dianjurkan Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI Selangor bagi meraikan kumpulan pertama U-PLATS.

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Selangor, Datuk Haris Kasim; EXCO Belia, Sukan dan Keusahawanan Selangor, Mohd Najwan Halimi; EXCO Agama Islam dan Pembudayaan Inovasi Selangor, Dr Mohammad Fahmi Ngah dan Ketua Pegawai Eksekutif MBI Selangor, Saipolyazan M Yusof.

Amirudin berkata, Selangor akan terus mengupayakan, memperkasakan dan memberdayakan kelompok peserta PLATS yang berpotensi untuk ditransformasikan kepada mereka yang mahir digitalisasi.

Katanya, ketika ini bilangan ahli paling ramai ialah dari Majlis Bandaraya Subang Jaya dengan, diikuti Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA); Majlis Perbandaran Hulu Selangor dan Majlis Perbandaran Kajang.

"Justeru, PLATS tidak akan terhenti begitu saja dan kira akan terus menawarkan kemudahan termasuk tawaran pinjaman untuk memulakan perniagaandan pada masa sama kita memberikan bantuan dan geran digitalisasi.

"Kita memperoleh maklum balas baik kerana ia bukan hanya terhasil melalui inisiatif kerajaan negeri atau kehendak peniaga tetapi saya lihat ketersediaan pasaran yangdi Lembah Klang dan daerah Hulu Selangor antara paling tinggi berkembang dan ini satu petunjuk sangat baik PLATS berkembang baik seperti dharapkan.

"Kita bukan mahu mengambil pasaran e-hailing tetapi sebaliknya

memastikan kolaborasi dengan semua memastikan semua dapat menjadi platform pemasaran kepada produk yang lain," katanya.

Seramai 12 peserta dinobatkan peserta terbaik berdasarkan pencapaian mereka sepanjang menjalani PLATS Digital mewakili 12 Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).

Dalam pada itu, Saipolyazan berkata, pihaknya membelanjakan RM5 juta setahun untuk mengembangkan program PLATS, sekali gus memperlihatkan komitmen MBI Selangor dalam membangunkan serta memupuk bakat keusahawanan dalam kalangan rakyat Selangor.

"MAPS ini bukan sahaja menjadi platform bagi mengiktiraf pencapaian peserta PLATS tetapi juga sebagai sumber inspirasi kepada mereka untuk terus maju dan berjaya dalam bidang keusahawanan terutama usahawan mikro Selangor pada masa hadapan," katanya.

Setakat 30 Jun lalu, seramai 37,018 orang peniaga telah berdaftar dengan PLATS dan ia satu pencapaian memberangsangkan hasil daripada program dan kempen yang dianjurkan oleh PLATS dengan kerjasama 12 PBT di Selangor dan Selangor Youth Community (SAY) seperti PLATS Masuk Pasar (PMP), PLATS Masuk Bazar pada bulan Ramadan dan Program Usahawan U-PLATS Digital.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 13 Julai 2024 @ 1:02 AM