Laksamana Madya Datuk Saiful Lizan Ibrahim
Laksamana Madya Datuk Saiful Lizan Ibrahim
Hafidzul Hilmi Mohd Noor

Kuala Lumpur: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) mengesahkan Singapore Police Coast Guard (SPCG) masuk ke perairan Malaysia dan melanggar pukat sebuah bot nelayan tempatan ehingga tersangkut di bebaling bot penguat kuasa negara berkenaan.

Pemangku Ketua Pengarah Maritim Malaysia Laksamana Madya Datuk Saiful Lizan Ibrahim berkata, berdasarkan laporan yang diterima, nelayan terbabit membuat aduan kepada pihak polis berkaitan insiden pihak SPCG yang melanggar pukatnya di kedudukan 0.2 batu nautika di barat daya Laluan Kedua (Linkedua) Tuas.

"Berdasarkan lokasi kejadian yang dilaporkan pengadu, APMM merujuk kepada pihak Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (JUPEM) bagi proses pengesahan insiden di atas Peta Baru Malaysia 1979.

"Maklum balas pihak JUPEM mengesahkan bahawa lokasi kejadian yang dilaporkan oleh pengadu jelas berada di dalam perairan Laut Wilayah Malaysia berhampiran jambatan Linkedua.

"Lokasi kejadian juga merupakan kawasan tradisi atau lokasi kebiasaan para nelayan tempatan di Johor bagi menangkap ikan dan menjaring udang," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Susulan kejadian itu, Saiful Lizan berkata, APMM kecewa dengan tindakan bot SPCG terbabit yang dilihat bertindak melampau, mengganggu serta merosakkan peralatan nelayan tempatan di samping menunjukkan sikap yang tidak menghormati kedaulatan maritim negara jiran.

"Insiden terbabit mengakibatkan nelayan berkenaan terpaksa menanggung kerugian agak tinggi.

"APMM akan membuat permohonan bantahan diplomatik agar kejadian yang serupa tidak berulang di masa hadapan demi memelihara hubungan baik kedua-dua buah negara," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 21 Ogos 2023 @ 2:46 PM