GAMBAR hiasan. Polis Pengawal Pantai Singapura. FOTO AFP
GAMBAR hiasan. Polis Pengawal Pantai Singapura. FOTO AFP
Mohamed Farid Noh


Iskandar Puteri: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) membantah tindakan Polis Pengawal Pantai (PCG) Singapura yang menceroboh perairan Malaysia, minggu lalu.

Pemangku Ketua Pengarah APMM, Laksamana Madya Datuk Saiful Lizan Ibrahim, berkata agensi itu akan membuat permohonan bantahan diplomatik supaya kejadian sama tidak berulang demi memelihara hubungan baik kedua-dua negara.

Katanya, APMM kecewa atas tindakan bot PCG terbabit yang dilihat bertindak melampau, mengganggu serta merosakkan peralatan nelayan tempatan di samping menunjukkan sikap yang tidak menghormati kedaulatan maritim negara jiran.

"Dalam kejadian pada pagi 14 Ogos lalu, bot PCG Singapura itu turut melanggar jaring pukat bot nelayan tempatan sehingga tersangkut di bebaling bot penguat kuasa republik itu.

"Berdasarkan laporan yang diterima, nelayan terbabit membuat aduan kepada polis berkaitan insiden PCG yang melanggar pukatnya pada kedudukan 0.2 batu nautika di Barat Daya Tuas Checkpoint.

"Berdasarkan lokasi kejadian yang dilaporkan pengadu, APMM telah merujuk kepada pihak Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (JUPEM) bagi proses pengesahan insiden di atas Peta Baru Malaysia 1979.

"Maklum balas JUPEM mengesahkan bahawa lokasi kejadian yang dilaporkan oleh pengadu jelas berada di dalam perairan Laut Wilayah Malaysia berhampiran jambatan Laluan Kedua Malaysia-Singapura (Linkedua).

"Lokasi kejadian juga adalah kawasan tradisi serta lokasi kebiasaan nelayan tempatan di Johor bagi menangkap ikan dan menjaring udang," katanya dalam kenyataan hari ini.

Semalam, Pasukan Polis Singapura (SPF) dilaporkan menafikan dakwaan nelayan Malaysia dihalau pegawai PCG kerana menangkap ikan di perairan negara ini, Isnin lalu.

SPF dalam kenyataannya berkata, dakwaan itu adalah tidak benar kerana insiden itu berlaku di perairan wilayah Singapura berdekatan Tuas.

SPF berkata, kejadian itu berlaku kira-kira jam 6.55 pagi Isnin lalu ketika bot PCG sedang membuat kawalan di kawasan perairan negara itu.

Selasa lalu, empat nelayan Kampung Pendas, Iskandar Puteri dilaporkan mendakwa pihak berkuasa Singapura melanggar dan merosakkan jaring mereka ketika sedang memasang jaring udang di kawasan perairan Selat Tebrau, pada pagi Isnin.

Dalam kejadian kira-kira jam 7 pagi berhampiran Jambatan Linkedua di sini itu, sebuah bot berkuasa negara jiran itu didakwa tiba-tiba melanggar jaring udang yang dipasang sebelum menariknya sehingga masuk ke dalam sempadan negara berkenaan.

Nelayan Kampung Pendas, Faizan Wahid, 42, dilaporkan berkata ketika kejadian berlaku beliau bersama tiga nelayan lain sedang memasang jaring udang.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 21 Ogos 2023 @ 3:47 PM