Zatul Iffah Zolkiply


Kuala Terengganu: Aset-aset Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) seperti kapal dan helikopter perlu ditambah bagi memantapkan lagi operasi penguatkuasaan dan menyelamat agensi berkenaan di perairan negara.

Timbalan Ketua Pengarah (Logistik) Maritim Malaysia Datuk Saiful Lizan Ibrahim berkata, keupayaan aset yang dimiliki agensi berkenaan ketika ini tidak mencukupi untuk berdepan dengan tugas semakin mencabar.

Beliau berkata, APMM bukan sahaja terbabit dalam operasi mencari dan menyelamat (Carilamat) tetapi turut melakukan rondaan di perairan negara bagi menangani isu pencerobohan nelayan asing dan pendatang asing tanpa izin.

"(Aset-aset sedia ada) tidak mencukupi dengan keperluan kita ketika ini namun, kita akan yakin perolehan aset baharu secara berperingkat seperti kapal peronda pesisir pantai (OPV), bot pemintas laju (FIC) dan helikopter dapat memantapkan lagi operasi kita.

DATUK Saiful Lizan Ibrahim (dua kanan) melawat gerai pameran sempena sambutan Hari Kesedaran Keselamatan Maritim Peringkat Kebangsaan di Pantai Batu Buruk di sini semalam. FOTO Ghazali Kori
DATUK Saiful Lizan Ibrahim (dua kanan) melawat gerai pameran sempena sambutan Hari Kesedaran Keselamatan Maritim Peringkat Kebangsaan di Pantai Batu Buruk di sini semalam. FOTO Ghazali Kori

"Insya-Allah, perkara itu (perolehan aset) sedang diatasi dan kita mengharapkan seperti yang dijanjikan kepada pihak APMM dan Kementerian Dalam Negeri (KDN), kita akan menerima sebuah OPV tahun ini dan dua lagi OPV pada tahun depan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas sambutan Hari Kesedaran Keselamatan Maritim (HKKM) Peringkat Kebangsaan di Pantai Batu Buruk di sini, semalam.

Menurut Saiful Lizan lagi, pihaknya juga bakal menerima enam lagi bot FIC tahun ini.

"Mengikut perancangan, APMM akan menerima 30 bot jenis sama dan ketika ini, kita sudah terima 24 buah.

"Ini bermakna ada enam lagi yang belum diterima, dan kita jangka tiga akan diterima pada bulan depan manakala tiga lagi pada September atau Oktober depan.

"Projek ini ada 10 fasa dengan setiap fasa membabitkan tiga bot dan sekarang ini sudah di peringkat hujung selain kita juga sedang dalam program untuk perolehan empat buah helikopter yang bersaiz lebih besar berbanding saiz sedia ada," katanya.

Setakat ini, APMM mempunyai 260 buah aset merangkumi 70 kapal dan 190 bot.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 7 Jun 2022 @ 9:32 AM