ANGGOTA bomba mengangkat mayat mangsa yang ditemui di terusan tengah MADA, Titi Dua Lapis. FOTO ihsan Pembaca
ANGGOTA bomba mengangkat mayat mangsa yang ditemui di terusan tengah MADA, Titi Dua Lapis. FOTO ihsan Pembaca
Zuliaty Zulkiffli


Pendang: Lelaki ditemukan lemas selepas motosikal yang ditungganginya terjatuh ke dalam tali air Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (Mada) di Titi Dua Lapis, di sini, malam tadi.

Ketua Polis Daerah Pendang, Deputi Superintendan Arriz Sham Hamezah berkata, kejadian dipercayai berlaku kira-kira 7.20 malam dan pihaknya menerima panggilan pada 7.50 malam.

Menurutnya, kejadian dipercayai berlaku ketika mangsa berusia 20 tahun menunggang motosikal seorang diri dari Bukit Raya untuk pulang ke rumahnya di Kampung Tanjung Radin, di sini.

"Sewaktu melalui lokasi kejadian, mangsa dipercayai hilang kawalan lalu tergelincir jatuh ke dalam tali air bersama motosikalnya.

"Mangsa terkapai-kapai meminta pertolongan dan cuba dibantu orang awam yang berada di sekitar tempat kejadian, tetapi ketika itu arus deras memyebabkan mangsa gagal diselamatkan dan tenggelam," katanya hari ini.

Arriz Sham berkata, anggota Balai Polis Pendang digerakkan ke tempat kejadian dan mayat mangsa kemudian dibawa naik ke darat dengan anggota antuan pasukan Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pendang.

Menurutnya, mangsa kemudian disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan.

"Mayat mangsa dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di Alor Setar untuk bedah siasat bagi mengenal pasti punca kematian," katanya.

Sementara itu, Ketua BBP Pendang, Muhammad Ezzat Emran Ezani berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian pada 7.32 malam.

Katanya, sepasukan anggota dari BBP Pendang tiba di lokasi melakukan pencarian dan mangsa berjaya ditemui pada 8.26 malam sebelum diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 22 Julai 2023 @ 12:12 PM