KEADAAN Perodua Alza yang remuk di bahagian tepi selepas melanggar pejalan kaki  di Kilometer 70.4 Lebuhraya Utara Selatan arah selatan. FOTO Ihsan PDRM
KEADAAN Perodua Alza yang remuk di bahagian tepi selepas melanggar pejalan kaki di Kilometer 70.4 Lebuhraya Utara Selatan arah selatan. FOTO Ihsan PDRM
Zuliaty Zulkiffli


IDENTITI mangsa kemalangan jalan raya gagal dikenal pasti selepas mukanya hancur akibat dilanggar dan diseret beberapa kenderaan di Kilometer (KM) 70.2 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah selatan, dekat Pendang, malam tadi.

Ketua Polis Daerah Pendang, Deputi Superintendan Arriz Sham Hamezah berkata, dalam kejadian kira-kira 10 malam itu, mangsa yang juga pejalan kaki pada mulanya dilanggar Perodua Alza sebelum terpelanting ke tengah jalan.

Katanya, beberapa kenderaan kemudian turut melanggar dan menggilis mangsa menyebabkan mayatnya hancur dan sukar dikenal pasti.

"Kejadian berlaku ketika pemandu Perodua Alza sedang memandu pada lorong paling kanan bersama isteri dan dua anaknya dari Alor Setar menuju ke Sik.

"Sebaik tiba di tempat kejadian, pemandu Perodua Alza terbabit tidak perasan mangsa yang cuba menyeberang lebuh raya menyebabkan berlaku perlanggaran," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Arriz Sham berkata, mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian disebabkan dilanggar beberapa kenderaan lain di lokasi sama.

Mayat mangsa kemudian dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) untuk dibedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Katanya, pemandu Perodua Alza terbabit serta isteri dan anak sulung mereka tidak cedera.

"Bagaimanapun anak bongsu mereka, luka di bahagian muka akibat kemalangan itu," katanya.

Sehubungan itu, orang ramai yang kehilangan ahli keluarga diminta menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD)Pendang untuk membuat laporan bagi memudahkan pihaknya mengesan waris mangsa.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 14 September 2018 @ 11:32 AM