LELAKI yang disyaki penagih tokan dadah serta motosikal dan dadah yang ditemui. FOTO Ihsan PDRM.
LELAKI yang disyaki penagih tokan dadah serta motosikal dan dadah yang ditemui. FOTO Ihsan PDRM.
Zuliaty Zulkiffli


MOTOSIKAL yang dilaporkan hilang di Yan, Kedah ditemui semula di Pendang, yang ditunggang lelaki dipercayai tokan dadah, malam tadi.

Lelaki berusia sekitar 30-an itu dipercayai menggunakan motosikal berkenaan untuk mengedar dadah secara kecil-kecilan.

Kegiatan itu dikesan selepas suspek ditahan anggota dari Balai Polis Sungai Tiang di simpang tiga Kampung Putat, Sungai Tiang, dekat Pendang, pada 9 malam.

Ketua Polis Daerah Pendang, Deputi Superintendan Arriz Sham Hamezah berkata, suspek dicekup ketika sedang menunggu pembeli barang terlarang itu.

“Pemeriksaan anggota menemui lima paket plastik lutsinar yang di dalamnya mengandungi serbuk ketulan disyaki heroin.

“Ia dianggarkan seberat 34.17 gram.

“Semakan nombor casis motosikal yang ditunggangi mendapati kenderaan itu masih dilaporkan hilang bersangkut laporan di Yan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Arriz Sham berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952, Seksyen 15 (1) (a) ADB 1952 dan Seksyen 379A Kanun Keseksaan kerana mencuri motosikal.

Dalam pada itu, polis turut menahan empat lelaki berusia lingkungan 20-an hingga 30-an yang disyaki penagih dadah di kawasan port kebun getah Felda Sungai Tiang.

Keempat-empat lelaki itu disiasat mengikut Seksyen 3 (1) Akta Penagih Dadah 1983.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 3 Februari 2020 @ 11:32 AM