SUSPEK (tidak berbaju) ditahan polis selepas Perodua Myvi dipandunya terjunam ke dalam tali air di Kampung Alor Besar. FOTO ihsan polis
SUSPEK (tidak berbaju) ditahan polis selepas Perodua Myvi dipandunya terjunam ke dalam tali air di Kampung Alor Besar. FOTO ihsan polis
Zuliaty Zulkiffli


Pendang: Tindakan nekad seorang pengedar dadah melarikan diri dengan memecut Perodua Myvi berakhir apabila kereta itu terjunam ke dalam tali air di Kampung Alor Besar, di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Pendang, Deputi Superintendan Arriz Sham Hamezah berkata, lelaki berusia 30-an itu berjaya ditahan polis selepas mengeluarkannya dari kenderaan itu.

Beliau berkata, kejadian berlaku jam 6.30 petang sewaktu pegawai dan anggotanya dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pendang melakukan operasi Op Tapis Khas.

"Pegawai dan anggota terserempak dengan Perodua Myvi warna putih dalam keadaan mencurigakan di tepi jalan Kampung Batu Menunggul, di sini.

"Sewaktu pasukan polis menghampiri kereta terbabit, suspek tiba-tiba memecutkan keretanya menuju ke arah jalan besar keluar ke arah jalan Pendang-Kobah.

"Berikutan itu, pasukan polis terus mengejar suspek sehingga memasuki jalan mini tar Kampung Alor Besar," katanya dalam kenyataan hari ini.

Arriz Sham berkata, sebaik tiba di persimpangan tiga jalan mini tar Kampung Alor Besar, kereta yang dipandu suspek dipercayai hilang kawalan lalu menjunam ke dalam tali air.

Beliau berkata, pegawai dan anggota polis terus bertindak masuk ke dalam tali air untuk mengeluarkan suspek yang masih berada dalam keretanya.

"Selepas berjaya membawa suspek ke tebing, pasukan polis melakukan pemeriksaan dan tidak menemui apa-apa barangan yang menyalahi undang undang.

"Pemeriksaan fizikal juga mendapati suspek tidak mempunyai sebarang kecederaan," katanya.

Arriz Sham berkata, suspek dibawa ke IPD Pendang untuk tindakan lanjut.

Beliau berkata, hasil pemeriksaan lanjut mendapati, suspek dipercayai seorang pengedar dadah yang dikenali sebagai 'Diuh' dan aktif di kawasan daerah ini sejak setahun lalu.

"Dia ditahan untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 3(1) Akta Dadah Berbahaya (Langkah-Langkah Pencegahan Khas 1985)," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 20 Jun 2023 @ 1:10 PM