Mangsa yang maut dalam kemalangan di Kilometer 60 Lebuhraya Utara Selatan. FOTO Ihsan PDRM
Mangsa yang maut dalam kemalangan di Kilometer 60 Lebuhraya Utara Selatan. FOTO Ihsan PDRM
Zuliaty Zulkiffli


SEORANG wanita yang menunggang motosikal maut dalam keadaan tragis apabila tercampak di tengah jalan sebelum digilis beberapa kenderaan di Kilometer 60.5 Lebuhraya Utara-Selatan di Pendang, hari ini.

Dalam kejadian 8.40 malam itu, mangsa, J Jocelyn Clare, 25, dikatakan menunggang motosikal Honda Wave dari arah Alor Setar.

Ketika kejadian, mangsa dipercayai melanggar bahagian belakang sebuah treler jenis Scania yang berhenti di lorong kecemasan akibat mengalami masalah pada kotak gear.

Ketua Polis Daerah Pendang, Deputi Superintendan Arriz Sham Hamezah berkata, siasatan awal mendapati, akibat kejadian itu mangsa dipercayai tercampak di tengah jalan sebelum digilis beberapa kenderaan lain.

"Motosikal mangsa yang berada di tengah jalan dilanggar pula oleh kenderaan pelbagai guna (MPV) Perodua Alza yang dipandu lelaki berusia 55 tahun.

"Wanita yang menunggang motosikal itu dipercayai meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan yang dialami," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Arriz Sham berkata, mangsa yang beralamat di Ladang Jabi, Pokok Sena dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) untuk tindakan lanjut.

Bagaimanapun, katanya, pemandu lori treler berusia 48 tahun yang beralamat di Kepala Batas, Pulau Pinang dan pemandu MPV dari Damansara, Kuala Lumpur itu tidak mengalami kecederaan.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1986," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 Julai 2020 @ 11:33 PM