MOHD Radzi menyusun gred telur sebelum di hantar kepada peniaga di stornya di Wangsa Maju. FOTO Fathil Asri
MOHD Radzi menyusun gred telur sebelum di hantar kepada peniaga di stornya di Wangsa Maju. FOTO Fathil Asri
Sri Ayu Kartika Amri

Kuala Lumpur: "Jika harga telur berterusan naik, saya rasa lebih ramai peniaga kecil seperti kami akan terjejas, mungkin akan ada yang terpaksa berhenti berniaga," kata peniaga nasi lemak, Zalida Syuhana Ahmad Tamam, 45.

Zalida antara peniaga kecil yang begitu terasa dengan kenaikan harga telur ketika ini dan isu itu seperti sukar dibendung.

Katanya, setiap minggu harga telur naik antara 50 sen sehingga RM1 dan kadangkala terputus bekalan telur.

"Kami peniaga bukan sahaja berdepan kenaikan harga telur, malah semua barang naik dan saya sukar untuk terima alasan kenaikan harga barangan ini kerana seperti telur, kita ramai pembekal dan bukannya perlu import dari negara luar.

"Harga jualan pula peniaga terpaksa kekalkan, sebagai contoh di warung kami, telur mata dijual hanya RM1 tetap sama, sebab bila naikkan harga pelanggan akan mengeluh.

"Telur kami terpaksa guna gred C, kalau gred lain memang tak dapat nak tampung kos dan semua barang sekarang memang mahal.

"Kami sangat berharap kerajaan pantau, ambil perhatian dan kena ambil tindakan sewajarnya serta cari punca utama kenapa harga boleh naik, adakah disebabkan 'orang tengah' atau sebaliknya.

"Kalau bukan pihak berkuasa dan kerajaan, dengan siapa lagi kami rakyat ini boleh harapkan," katanya.

Sementara itu, tinjauan Harian Metro di sekitar Kuala Lumpur mendapati bekalan telur masih terkawal, namun ada beberapa kedai yang terpaksa menjual gred jenis C dan B sahaja.

Bagi pembekal telur, Mohd Radzi Ahmad, 62 yang juga bekas pesara tentera, dia turut melahirkan kebimbangan dengan bekalan telur buat masa ini.

 Menurutnya, bagaimanapun keadaan bekalan telur masih terkawal sekarang, namun daripada segi harga diakui memang terdapat peningkatan.

"Telur gred C dan B sekarang adalah yang paling laku kerana harga sekitar RM11 hingga RM12.50. Kami sebagai pembekal akui sukar untuk mengawal kenaikan harga, tetapi kami sendiri margin keuntungan pun kecil, tidak tinggi.

"Daripada segi bekalan memang ada masa kami sendiri pembekal putus bekalan, namun kami sentiasa berkomunikasi dengan pembekal lain untuk memastikan stok bekalan mencukupi di kawasan masing-masing.

"Pendapat saya, sudah tiba masa kerajaan perkenalkan subsidi untuk telur sama seperti minyak masak," katanya.

Mohd Radzi berkata, kedainya, Lubuk Mart kini menjual telur gred AA pada harga antara RM14, manakala gred A RM13 ke atas, B RM12.50 dan C RM11 ke atas.

Ditanya punca kenaikan harga dan bekalan telur, katanya, jika sebelum bencana banjir berlaku, alasan diberikan kerana harga makanan ayam yang tinggi.

"Tetapi sekarang isu telur ayam sudah sama seperti bekalan minyak masak paket," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 16 January 2022 @ 6:09 PM