Pelanggan membeli bekalan telur ayam susulan kekurangan bekalan telur ayam di pasaran ketika tinjauan di Seri Kembangan. FOTO AIZUDDIN SAAD
Pelanggan membeli bekalan telur ayam susulan kekurangan bekalan telur ayam di pasaran ketika tinjauan di Seri Kembangan. FOTO AIZUDDIN SAAD
Sri Ayu Kartika Amri


Kuala Lumpur: Krisis bekalan telur ayam terus membelenggu orang ramai apabila masih sukar didapati di pasaran sekali gus menimbulkan kebimbangan terutama apabila musim perayaan bakal menjelang tidak lama lagi.

Tinjauan Harian Metro di beberapa pasar raya dan kedai runcit di ibu kota mendapati tiada bekalan telur ayam dalam satu papan dijual menyebabkan pelanggan tiada pilihan selain membeli telur ayam Omega yang dijual pada harga antara RM7 hingga RM8 bagi 10 biji.

Peniaga, Rohana Rusdi, 42, berkata dia masih sukar untuk membeli telur papan dan terpaksa mencari ke beberapa kedai.

"Telur ayam papan selalu habis, harga pula semakin mahal. Sebelum ini Gred B harga dalam RM13.90 sepapan, sekarang Gred D berharga RM15.60.

"Nak beli telur Omega pula mahal dan hanya 10 biji, anak-anak saya suka makan telur jadi memang kena beli sepapan (30 biji) lebih jimat. Telur ayam import setakat ini saya tak jumpa lagi," katanya.

Bagi suri rumah, Erni Harlini Zulkifli, 39, dia terpaksa membeli telur ayam Omega walaupun harganya mahal.

"Saya tiada pilihan, lagi pun sekarang saya selalu masak makanan yang tidak berasaskan telur sebagai alternatif.

"Justeru, saya harap sangat masalah bekalan telur ayam dapat ditangani segera kerana ia sudah lama berlaku dan seperti tiada kesudahan.

"Isu ketiadaan telur ayam papan selalunya terjadi bermusim, tapi kali ini saya lihat bekalan telur putus lebih teruk berbanding sebelum ini dan pengguna yang akan 'sakit' setiap kali menjelang perayaan," katanya.

Katanya, dia berharap kerajaan dan agensi berkaitan dapat mengotakan janji untuk menangani masalah bekalan telur ayam papan ini kerana telur import juga sukar dijumpai.

Sementara itu, pembekal telur yang mahu dikenali sebagai Chan berkata, pihaknya juga menghadapi kekurangan bekalan telur ayam, malah stok yang sampai hanya dapat memenuhi permintaan pelanggan tetap

"Setiap hari, telur ayam Gred E saja tinggal dan semua gred lain cepat habis. Sekarang Gred E kami jual pada harga RM11.40 sepapan dan telur ayam kampung Gred B RM17.40," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 8 January 2023 @ 3:11 PM