Azlee (dua dari kanan) bersama Presiden Karyawan, Datuk Freddie Fernandez (tiga dari kanan), Timbalan Presiden Karyawan, Radhi Khalid (kiri) dan ahli Karyawan, Datuk Khatijah Ibrahim (kanan).
Azlee (dua dari kanan) bersama Presiden Karyawan, Datuk Freddie Fernandez (tiga dari kanan), Timbalan Presiden Karyawan, Radhi Khalid (kiri) dan ahli Karyawan, Datuk Khatijah Ibrahim (kanan).
Ridzuan Abdul Rahman


Sungai Buloh : Bukan kerana bebanan kerja, sebaliknya kerana penjagaan kesihatan yang kurang sempurna selain tidak menjaga pengambilan makanan.

Ini yang menjadi punca anggota Senario, Azlee Jaafar, 57, mengalami serangan jantung, baru-baru ini.

Dalam masa sama, Azlee turut menafikan perlu menyediakan kandungan serta mengendalikan sesi siaran langsung di TikTok seperti dalam kontrak antara punca dia turut terkesan sehingga sakit.

"Bacaan kolestrol saya sebenarnya tinggi. Dari situ ia berangkai-rangkai kepada penyakit lain pula. Namun, kalau kata saya berdepan bebanan kerja tidak juga.

"Pada saya, bila bergelar pelawak ini kena sentiasa bawa watak 'happy go lucky'. Itu memang perangai semula jadi saya. Tapi tidak sangka juga boleh terkena serangan jantung.

"Bila dimasukkan ke hospital, baru dapat tahu yang saya ini ada masalah kesihatan. Saya baru tahu ada kolestrol yang tinggi dan kencing manis. Semasa di hospital pun saya kena buat rawatan kencing manis dan bakar lemak," katanya ketika ditemui pada sesi penyerahan sumbangan oleh Presiden Persatuan Karyawan Malaysia (Karyawan), Datuk Freddie Fernandez di kediamannya di Bandar Saujana Utama, di sini, semalam.

Turut hadir, Timbalan Presiden Karyawan, Radhi Khalid dan penyanyi legenda, Datuk Khatijah Ibrahim yang juga ahli Karyawan.

Azlee berkata, dia menjalani kehidupan tanpa tekanan kerana kerja sebagai penghibur ialah tugasan hakiki yang perlu dilunaskan.

"Kalau macam berlakon, mengacara, buat ulasan produk dan persembahan itu kerja hakiki yang saya perlu buat. Untuk TikTok pula saya hanya buat bila ada masa terluang, bukannya hari-hari.

"Saya buat pun sebab tidak mahu ketinggalan dengan artis baharu yang kalau lihat lebih mahir dan ke hadapan memanfaatkan platform media sosial. Jadi, saya tak mahu ketinggalan," katanya.

Azlee berkata, doktor menasihatkannya agar berehat sekurang-kurangnya selama sebulan bermula tarikh keluar dari Institut Jantung Negara (IJN) pada 8 Jun lalu.

"Tapi, faham-fahamlah saya jenis tak reti duduk diam. Saya rasa mahu kerja macam biasa sebab bosan duduk rumah. Untuk sekarang saya tak boleh terus hendak letakkan had waktu bekerja berapa jam sehari. Saya perlu lihat kerja itu bagaimana.

"Saya memang jarang buat pemeriksaan kesihatan. Lagipun agak pelik kerana saya tak pernah alami gejala orang yang kena kencing manis.

"Tahu-tahu saja bila doktor periksa, bacaan gula saya tinggi iaitu 22," katanya.

Azlee turut berterima kasih kepada Karyawan yang prihatin menghulurkan sumbangan bagi meringankan beban yang ditanggungnya.

"Semalam pun Lembaga Zakat Selangor (LZS) ada datang dan suruh isi borang untuk dibawa ke IJN. Mereka maklumkan untuk tanggung kos ubat-ubatan jantung saya dalam anggaran RM400 hingga RM500 sebulan. Mereka akan bantu tanggung untuk beberapa tahun," katanya.

Pada 5 Jun lalu, Azlee dikejarkan ke Hospital Sungai Buloh (HSB), selepas tidak sedarkan diri di kediamannya akibat serangan jantung.

Dia kemudian dirujuk ke IJN untuk rawatan lanjut.

Azlee berkata, doktor memaklumkan keadaannya sangat kritikal kerana jantungnya tersumbat sebanyak 99 peratus dan salah satu urat pada injap jantungnya putus.

Sementara itu, Freddie memaklumkan sumbangan diterima Azlee adalah hasil kutipan yang diperoleh daripada penganjuran program amal iaitu Majlis Makan Malam Legends yang berlangsung di Dewan Perdana Felda, Kuala Lumpur pada 2 Jun lalu.

"Ini menjadi tanggungjawab kami untuk melawat dan membantu rakan artis dalam kesusahan dengan menghulurkan sumbangan. Saya doakan Azlee supaya cepat pulih dan kembali aktif dalam dunia seni," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 16 Jun 2024 @ 8:11 AM