MAJLIS perkahwinan William dan Catherine (kiri). Gambar kanan, Harry dan Meghan. FOTO Arkib AFP
MAJLIS perkahwinan William dan Catherine (kiri). Gambar kanan, Harry dan Meghan. FOTO Arkib AFP
Agensi

Perkahwinan bukan sahaja menjadi detik penyatuan pasangan, malah ia juga mempamerkan status seseorang.

Berikut adalah beberapa majlis perkahwinan yang melakar sejarah kerana antara termahal dunia. Senarai ini berdasarkan laporan majalah gaya hidup, Prestige.

Priya Sachdev dan Vikram Chatwal

• Tahun: 2006

• Kos perkahwinan: AS$20 juta (kira-kira RM94.26 juta)

Pengusaha hotel, Vikram Chatwal berkahwin dengan bekas jurubank pelaburan yang juga model, Priya Sachdev, dalam acara 10 hari di tiga bandar di India.

Seramai 600 tetamu diterbangkan dari 26 negara. Penerbangan yang disewa khas adalah satu-satunya cara pengangkutan untuk perkahwinan dengan kos berjuta-juta dolar Amerika Syarikat (AS) ini.

Tetamu termasuk bekas presiden AS, Bill Clinton; model, Patricia Velasquez dan Naomi Campbell.

Selain itu, ia dihadiri Perdana Menteri India ketika itu, Manmohan Singh; guru kerohanian, Deepak Chopra; Putera Nikolaos dari Greece dan ahli perniagaan, Lakshmi Mittal.

Putera Felipe dari Sepanyol dan Letizia Ortiz Rocasolano

• Tahun: 2004

• Kos perkahwinan: AS$28- AS$54 juta (kira-kira RM132 – RM254 juta)

Ortiz yang juga bekas penyampai berita televisyen, berkahwin dengan pewaris raja Sepanyol ketika itu, Putera Felipe, dalam majlis yang disaksikan 25 juta penonton.

Lebih 1,200 tetamu menghadiri majlis itu termasuk Putera Albert dari Monaco dan Raja Charles III (ketika itu Putera Wales), di samping tetamu diraja dan ketua-ketua negara.

Huang Xiaoming dan Angela Yeung Wing

• Tahun: 2015

• Kos perkahwinan: AS$31 juta (kira-kira RM146 juta)

Perkahwinan antara pelakon, penyanyi dan model, Angela Yeung atau lebih dikenali sebagai Angelababy, dengan pelakon, Huang Xiaoming diadakan pusat konvensyen di Shanghai pada Oktober 2015.

Cincin dipakai Angela pada majlis itu adalah daripada pereka Paris, Chaumet. Ia bernilai AS$1.5 juta (kira-kira RM7 juta).

Untuk majlis itu, Angelababy memakai gaun Christian Dior yang menurut Forbes mengambil masa lima bulan untuk disiapkan.

Seramai 2,000 tetamu, termasuk selebriti terbesar Hong Kong, hadir pada acara berkenaan. Acara itu turut distrim langsung di internet.

HUANG Xiaoming dan Angela Yeung Wing. FOTO Instagram
HUANG Xiaoming dan Angela Yeung Wing. FOTO Instagram

Kate Middleton dan Putera William

• Tahun: 2011

• Kos perkahwinan: AS$33 juta (kira-kira RM155 juta)

Hampir 1,900 tetamu terpilih hadir ke majlis diadakan di Westminster Abbey, London, pada April 2011. Ia turut disaksikan lebih 160 juta penonton dari 188 negara.

Kate memakai gaun Alexander McQueen rekaan Sarah Burton berniilai AS$434,000 (kira-kira RM2 juta). Namun, kos utama majlis ini adalah untuk aspek keselamatan yang dikatakan membabitkan AS$32 juta (kira-kira RM151 juta).

Madelaine Brockway dan Jacob Lagrone

• Tahun: 2023

• Kos perkahwinan: AS$59 juta (kira-kira RM278 juta)

Madelaine adalah pewaris hartawan pengedar kereta, Robert 'Bob' Brockway, yang berkhidmat sebagai Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif Bill Ussery Motors. Syarikat itu dikaitkan dengan pengedar Mercedes-Benz di Florida, AS.

Madelaine memakai gaun Dior dalam majlis perkahwinannya yang diadakan Paris, pada November 2023.

MAJLIS perkahwinan Madelaine Brockway dan Jacob Lagrone. FOTO Instagram Madelaine Brockway
MAJLIS perkahwinan Madelaine Brockway dan Jacob Lagrone. FOTO Instagram Madelaine Brockway

Putera Harry dan Meghan Markle

• Tahun: 2018

• Kos perkahwinan: AS$63 juta (kira-kira RM299 juta)

Pasangan itu berkahwin di Gereja Kecil St George di Istana Windsor pada Mei 2018. Acara itu dihadiri 600 tetamu, sementara 2,000 yang lain menunggu mereka di taman diraja, manakala berjuta-juta lagi menonton secara langsung acara bersejarah itu.

Meghan memilih gaun organza rekaan Clare Waight Keller dari rumah fesyen Givenchy. Aksesori pengantin perempuan adalah daripada Cartier.

Vanisha Mittal dan Amit Bhattia

• Tahun: 2004

• Kos perkahwinan: AS$65 juta (kira-kira RM306 juta)

Vanisha Mittal adalah anak perempuan kepada hartawan keluli dari India, Lakshmi Mittal. Amit Bhattia pula adalah ahli perniagaan British-India.

Majlis perkahwinan pasangan itu berlangsung enam hari pada 2004 di beberapa lokasi ikonik Perancis seperti Istana Versailles, Vaux-le-Vicomte dan Jardin de Tuileries. Acara itu juga menyaksikan 1,000 tetamu diterbangkan dari seluruh dunia.

Majlis perkahwinan termahal dunia ini juga dapat dilihat dengan jemputan perkahwinan setebal 20 muka surat. Tetamu menerima tiket penerbangan dan penginapan bertaraf lima bintang di Intercontinental Paris – Le Grand. Bapa Mittal juga menyewakan 12 jet Boeing untuk mengangkut tetamu.

Digelar Perkahwinan Paling Mahal dalam Rekod Dunia Guiness, namun pasangan itu bercerai pada 2014.

Lady Diana Spencer dan Putera Charles

• Tahun: 1981

• Kos perkahwinan: AS$114 juta (kira-kira RM542 juta)

Diadakan di Katedral St Paul di London, perkahwinan Puteri Diana dan Putera Charles pada Julai 1981 ditonton oleh 750 juta orang di seluruh dunia.

Seramai 3,500 tetamu dijemput ke majlis itu dan dua juta orang lagi menyaksikan perarakan pengantin diraja itu.

Diana memakai gaun bernilai AS$46,785 (kira-kira RM220,497.71) yang dihiasi dengan renda, sulaman tangan, labuci dan 10,000 mutiara.

Kos keselamatan untuk majlis ini dianggarkan AS$600,000 (kira-kira RM2.8 juta).

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 16 Jun 2024 @ 7:01 AM