Hafidzul Hilmi Mohd Noor


Kuala Lumpur: Bekalan telur ayam yang terhad di sekitar Lembah Klang menyebabkan berlaku kenaikan pada bahan mentah itu.

Tinjauan di pasar, pasar raya dan kedai runcit sekitar Lembah Klang mendapati kebanyakan peniaga menjual harga telur gred AA dengan harga RM13.50 sehingga RM13.90 sepapan.

Berlaku kenaikan harga berbanding dahulu yang dijual sekitar RM12.50 sepapan dan turut dikesan berlaku kenaikan bagi telur ayam gred B dan C.

Peniaga telur di Pasar Seksyen 6, Shah Alam, Norliza Shafie, 50 berkata, bekalan telur ayam sangat terhad dan berlaku kenaikan harga kebelakangan ini.

"Pembekal hanya membekal telur kira-kira separuh daripada pesanan dibuat, contohnya kita memesan 100 papan telur ayam, namun pembekal hanya membekalkan 50 papan.

"Pembekal akan memaklumkan telur ayam amat terhad dan tiada. Saya hanya menjual telur ayam gred AA sahaja dan ia amat mendapat sambutan," katanya ketika ditemui, hari ini.

Sementara itu, pengguna, Nur Hatimah Yusof, 46, kecewa kerana bekalan telur ayam sukar didapati.

"Memang susah, ini hari kedua saya di sini dan terpaksa datang pagi kerana risau kehabisan stok telur ayam.

"Kebanyakan tempat yang saya pergi biasanya memang tidak ada stok kecuali terpaksa ke pasar harian dan membeli telur ayam gred AA," katanya.

Terdahulu, Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) menubuhkan satu pasukan khas untuk menyiasat isu persaingan dalam industri berkaitan ayam dan telur ayam.

Menurut agensi itu, pihaknya akan mengambil tindakan ke atas sebarang tindakan sabotaj ekonomi terhadap rakyat melalui elemen kartel atau penyalahgunaan kuasa dominan serta monopoli dalam industri ayam serta telur ayam di negara ini.

Tinjauan peniaga telur ayam di pasar Seksyen 6, Shah Alam. FOTO HAIRUL ANUAR RAHIM
Tinjauan peniaga telur ayam di pasar Seksyen 6, Shah Alam. FOTO HAIRUL ANUAR RAHIM

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 13 Februari 2022 @ 3:08 PM