AI di dalam hospital membantu memudahkan penjagaan pesakit dengan cekap.
AI di dalam hospital membantu memudahkan penjagaan pesakit dengan cekap.
Hafiz Ithnin


LANDSKAP penjagaan kesihatan hari ini sentiasa berkembang pesat begitu juga dengan tugas jururawat yang berfungsi sebagai titik perhubungan pertama dengan pesakit yang datang mendapatkan rawatan.

Sehubungan itu, jururawat juga memainkan peranan penting untuk mengikuti perkembangan teknologi ketika menjaga pesakit.

Pengarah Nursing New Venture Kumpulan Penjagaan Kesihatan Sunway, Serene Lum Fuai Sian berkata, Sunway Medical Centre (SMC) mula menggunakan pelbagai peranti berteknologi tinggi dan dilengkapi dengan ciri-ciri kecerdasan buatan (AI) di hospital sejak beberapa tahun kebelakangan ini dengan salah satunya ialah peranti tanpa sentuhan untuk mengesan gerakan pesakit yang digunakan jururawat.

"Peranti dengan bantuan AI itu diletakkan di bawah tilam untuk mengesan sebarang pergerakan badan, aktiviti pernafasan, kadar degupan jantung dan sebagainya bagi membantu jururawat mengawal serta mengurangkan insiden pesakit jatuh dari katil di hospital.

"Dalam tempoh dua tahun pertama pelaksanaan, kami tidak merekodkan sebarang kes jatuh dari katil berisiko sederhana atau tinggi. Dengan bantuan peranti itu, jururawat mampu menjadi lebih peka dengan keadaan pergerakan pesakit terutama yang ditempatkan di bilik perseorangan," katanya.

Katanya pengimbas itu juga membantu jururawat menyediakan langkah-langkah intervensi awal berkaitan kesihatan pesakit apabila berhadapan dengan pelbagai insiden.

Sementara itu, Jururawat Kanan 2 (SMC), Tee May Fung pula berkata, dia ditugaskan untuk menjaga pesakit, mengurus keperluan mereka, menjalankan

fisioterapi dan juga menyediakan ubatan tepat pada masanya. Pada masa yang sama dia juga perlu memantau kesihatan pesakit.

"Sebagai seorang jururawat, kami perlu memberi perhatian sepenuhnya kepada pesakit bagi membantu mereka untuk berasa seolah-olah berada di rumah sepanjang proses pemulihan.

"Sebelum ini, kita perlu menyeimbangkan tugas untuk merekod data pesakit dan juga menjaga pesakit. Seiring peredaran masa, dengan penyesuaian kepada perkembangan teknologi baharu, saya dapat meluangkan lebih banyak masa bersama pesakit dan memberikan penjagaan yang sewajarnya," katanya.

Tambahnya, setiap kali teknologi baharu diperkenalkan di Unit Rawatan Rapi (ICU), jururawat akan diberikan taklimat awal dan kemudian sesi latihan untuk membiasakan diri dengan sistem baharu itu.

"Jururawat juga akan terus mempelajarinya ketika menggunakan teknologi itu dalam tugas seharian mereka. Ia adalah satu perubahan yang dialu-alukan.

"Dengan penggunaan AI yang kini diintegrasikan, ia melengkapkan tugas harian kami dengan lebih baik," ulasnya.

Penyepaduan terkini sistem AI dalam Unit Rawatan Rapi Pediatrik (PICU) dapat membantu jururawat membuat keputusan klinikal berpandukan data. Jururawat boleh memantau tan

da vital pesakit dan mengira skor amaran awal kanak-kanak (PEWS) secara automatik.

Data daripada PEWS yang boleh diakses pasukan jururawat dan digunakan doktor pakar untuk mengeluarkan amaran bagi menggesa kumpulan perawat melayan pesakit berdasarkan keadaan mereka.

Sebuah modul juga membantu menghubungkan peranti luaran seperti ventilator untuk menghantar parameter kepada sistem pemantauan pusat (CMS) bagi mengesan sebarang tanda awal kemerosotan kesihatan pesakit.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 16 Jun 2024 @ 6:55 AM