Tinjauan harga ayam di Pasar Chow Kit, Kuala Lumpur. Gambar Noor Hidayah Tanzizi
Tinjauan harga ayam di Pasar Chow Kit, Kuala Lumpur. Gambar Noor Hidayah Tanzizi
Noor Hidayah Tanzizi


Kuala Lumpur: Harga ayam segar yang dijual di sekitar ibu kota ini, mengalami kenaikan harga kepada RM0.60 sekilogram dalam tempoh seminggu menyebabkan barang mentah itu kini dijual dengan harga RM9.40 sekilogram.

Tinjauan Harian Metro di Pasar Raja Bot atau lebih dikenali sebagai Pasar Chow Kit dan Pasar Dato' Keramat, di sini, mendapati rata-rata peniaga menjual ayam bulat segar pada harga terbabit dengan beberapa peniaga ditemui mendakwa harga ayam kini tidak menentu dan tiada kawalan tetap.

Peniaga ayam, Nur Farah Izzati Halim, 25, mendakwa dalam tempoh seminggu ini harga ayam dibeli daripada pemborong mengalami kenaikan sebanyak dua kali iaitu pada Isnin yang dijual pada harga RM7.90 sekilogram dan Rabu, RM8.50.

Menurutnya, disebabkan mereka terpaksa menjual ayam pada harga RM9.40 sekilogram dan boleh dikatakan semua pasar di sekitar Kuala Lumpur menjual ayam pada harga berkenaan.

"Jangan tanya kami kenapa harga ayam naik kerana kami juga terpaksa mengikut harga pemborong dan terpaksa juga dijual mengikut harga yang wajar untuk mengelakkan kami kerugian kerana ada memikirkan kos lain, lagipun untung tak banyak.

"Mungkin harga kerap naik selepas pengumuman Belanjawan 2024 lalu mengenai pelaksanaan apungan harga ayam dan telur tetapi setakat ini harga ayam masih belum ada kawalan supaya tiada kenaikan mendadak," katanya ketika ditemui.

Katanya, justeru sebagai peniaga dia berharap kerajaan dapat memikirkan mekanisme terbaik melalui pelaksanaan berkenaan yang bukan saja menguntungkan rakyat tetapi peniaga, pemborong dan penternak.

"Kami harap ia dapat mengawal harga ayam dan tak mahu lagi naik mendadak dalam selang tempoh yang pendek. Harga ayam ini kalau naik memang banyak kali tetapi kalau turun boleh dikira, malah sekejap saja sebelum naik semula," katanya.

Seorang lagi peniaga dikenali Ahmad, berkata, sebelum ini dia boleh mendapatkan ayam yang dijual pada harga RM7.10 hingga RM7.90 sekilogram daripada pemborong.

"Harga ayam memang kerap naik, kalau seminggu lalu saya boleh jual ayam pada harga RM9 sekilogram tetapi hari ini ayam terpaksa dinaikkan sehingga RM9.40 sekilogram tetapi setakat ini bekalannya masih ada.

"Dalam masa sebulan ini sudah lebih tiga empat kali naik dan pelanggan juga sudah berbunyi kerana harga kerap juga naik tetapi mahu buat macam mana lagi kami juga terpaksa," katanya.

Sementara itu, tinjauan harga telur pula mendapati harga telur masih sama, cuma bekalan keperluan asas itu bagi gred A, B dan C masih berkurangan di pasaran berbanding telur gred AA yang bersaiz lebih besar selain telur ayam kampung.

Telur ayam gred AA dijual pada harga RM17 sepapan, manakala gred A (RM13.50 hingga RM14), gred B (RM12.90 hingga RM13.50) di beberapa premis termasuk kedai runcit.

Peniaga dikenali sebagai Lim berkata, setakat ini dia masih menjual telur pada harga disarankan, namun mengakui bekalan barangan itu masih berkurangan terutama gred C.

"Telur gred A, B dan C memang sukar nak dapat terutama yang paling kecil iaitu C yang mana sekali seminggu saja boleh dapat berbanding sebelum ini setiap hari boleh dapat bekalan semua gred telur. Sekarang gred paling besar AA saja yang banyak dan harganya memang agak mahal ikut saiz.

"Sekarang ini kami jual telur hanya dapat untung RM0.60 sepapan dan untuk jual semula berapa pula kami mahu letak harganya. Kalau ambil untung lebih sikit orang bising pula itu dan kebetulan bekalan memang kurang ketika ini.

"Tetapi setakat ini saya masih jual harga telur sama dengan harga ditetapkan sebab kita tak boleh naik harga sesuka hati tetapi saya harap pelaksanaan baru kerajaan nanti boleh bantu kami dapat keuntungan RM1 untuk sepapan telur dan biarlah pelaksanaanya menyeluruh bagi semua pihak,"katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 22 Oktober 2023 @ 2:02 PM