AL-HAFIZ Ibn al-Jawzi dalam kitabnya mengingatkan orang yang mengerjakan haji perlu berhati-hati menjaga niat. FOTO AFP
AL-HAFIZ Ibn al-Jawzi dalam kitabnya mengingatkan orang yang mengerjakan haji perlu berhati-hati menjaga niat. FOTO AFP
Dr Mohd Khafidz Soroni

Puji dan syukur kepada Allah SWT yang masih mengurniakan kemudahan dan keamanan buat umat Islam pada masa kini menunaikan ibadah haji. Semoga Allah SWT memelihara jemaah haji dan kita semua daripada segala perkara buruk dan dukacita. Walau bagaimanapun, dalam keadaan situasi dunia yang tidak menentu ini segala kemungkinan boleh sahaja berlaku, sama ada cepat atau lambat. Justeru, wajar sekiranya kita merenung kembali apa yang dikhabarkan oleh baginda Nabi SAW supaya kita mengambil pengajaran dan persiapan yang sepatutnya.

Ada berbagai hadis eskatologi (keyakinan berkaitan berakhirnya dunia) berkaitan ibadah haji dan tempat sucinya iaitu Baitullah (Kaabah). Diriwayatkan bahawa Nabi SAW bersabda: "Akan datang kepada manusia satu zaman, di mana golongan kaya umatku akan menunaikan haji untuk tujuan bersiar-siar, golongan sederhana mereka untuk tujuan berniaga, golongan qurra' (ahli ilmu) mereka untuk tujuan riyak dan reputasi serta golongan fakir mereka pula untuk tujuan meminta-minta." (Riwayat al-Khatib al-Baghdadi dalam Tarikh Baghdad dan al-Dailami dalam Musnad al-Firdaus dengan sanad daif)

Meskipun hadis ini daif, namun tidak rugi untuk kita mengambil iktibar daripadanya. Menariknya, al-Hafiz Ibn al-Jawzi dalam kitabnya Muthir al-Gharam al-Sakin ila Asyraf al-Amakin menjadikan hadis ini sebagai anjuran supaya orang yang mengerjakan haji perlu berhati-hati menjaga niatnya. Kata beliau: "Sewajarnya dia memperbetulkan niatnya bagi mengerjakan haji. Sekiranya dia ingin berniaga pun, maka jadikanlah itu sebagai iringan dan sampingan sahaja dan jangan menjadikannya sebagai maksud utamanya."

Ini menunjukkan al-Hafiz Ibn al-Jawzi meskipun agak keras dalam kitab al-Maudhu'at dan mengkritik hadis ini dalam al-'Ilal al-Mutanahiyah, namun beliau masih mengikut kaedah jumhur ulama dalam masalah penggunaan hadis daif dan memahami ia masih mempunyai peranan serta tidak ditolak secara total, khususnya dalam bab fadha'il amal dan at-targhib wa at-tarhib (galakan dan ancaman).

Kita tidak tahu berapa lama keadaan senang dan aman ini dapat kita nikmati. Nabi SAW mengkhabarkan bahawa pada akhir zaman akan berlaku dua serangan terhadap Baitullah (Kaabah). Bagaimanapun, serangan pertama akan digagalkan oleh Allah SWT dan mereka semua akan dibinasakan. 'Aisyah meriwayatkan, Nabi SAW bersabda: "Sekumpulan tentera akan memerangi Kaabah, lalu ketika mereka berada di suatu padang pasir, mereka pun ditenggelamkan seluruhnya awal dan akhir." 'Asiyah bertanya: "Ya Rasulullah, bagaimana mereka ditenggelamkan seluruhnya awal dan akhir, sedangkan ada pada mereka pasar-pasar dan orang yang bukan daripada kalangan mereka?" Jawab baginda: "Mereka akan ditenggelamkan seluruhnya awal dan akhir, kemudian mereka akan dibangkitkan semula (di akhirat kelak) menurut niat masing-masing." (Riwayat al-Bukhari)

Manakala serangan kedua kemungkinan berlaku selepas berakhirnya zaman Imam al-Mahdi. Serangan kali ini berjaya menghancurkan Kaabah sehingga orang Islam tidak lagi dapat mengerjakan ibadah haji. Abu Hurairah RA mengkhabarkan, Rasulullah SAW bersabda: "Seorang lelaki (al-Mahdi) akan dibaiah di antara rukun (Hajar Aswad) dan maqam (Ibrahim). Dan sekali-kali tiada yang mencemarkan Baitullah (Kaabah) melainkan penduduknya sendiri. Maka, jika mereka telah mencemarkannya, maka jangan ditanya lagi mengenai kehancuran bangsa Arab. Kemudian akan datang orang-orang Habsyah, lalu mereka akan menghancurkannya dengan sehancur-hancurnya. Tidak ada lagi yang memakmurkannya setelah itu selama-lamanya dan mereka itulah yang akan mengeluarkan harta yang tersimpan di dalamnya." (Riwayat Ahmad dan al-Hakim dan merupakan hadis sahih)

Peliknya, peristiwa ini digambarkan oleh Nabi SAW dengan gambaran yang cukup terperinci. Abu Hurairah RA meriwayatkan, Rasulullah SAW bersabda: "Kaabah akan dihancurkan oleh seorang lelaki yang kedua-dua betisnya kurus daripada bangsa Habsyah." (Riwayat al-Bukhari dan Muslim). Dalam riwayat Ibnu 'Abbas RA, baginda SAW bersabda: "Seolah-olah aku melihatnya seorang yang berkulit hitam dan berkaki kengkang, sedang meruntuhkannya batu demi batu." (Riwayat al-Bukhari). Manakala dalam riwayat 'Abdullah bin 'Amru RA, Rasulullah SAW bersabda: "Dia akan merampas perhiasannya dan melepaskan kain kiswahnya (kelambunya) dan seakan-akan aku melihatnya seorang yang sedikit botak, berkaki tempang, sedang membongkarnya dengan menggunakan cangkul dan beliungnya." (Riwayat Ahmad)

Peristiwa ini tidak bertentangan dengan ayat al-Quran yang bermaksud: "Dan tidakkah mereka melihat dan memerhatikan bahawa Kami telah menjadikan (Makkah) tanah suci yang dihormati, lagi aman." (Surah al-'Ankabut: 67). Kerana kata al-Hafiz Ibnu Hajar dalam Fath al-Bari: "Bahawa yang dimaksudkan, ia berlaku di akhir zaman hampir dengan ketibaan hari kiamat, ketika tiada lagi yang tinggal di atas muka bumi ini seorang pun yang mengucapkan: Allah, Allah."

Penulis Ketua Unit Hadis di Institut Kajian Hadis dan Akidah (Inhad), Universiti Islam Selangor (UIS)

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 16 Jun 2024 @ 7:01 AM