Ahmad Rabiul Zulkifli


Kuala Terengganu: Sebanyak 4,960 papan telur ayam habis terjual apabila sebuah premis pemborong di Kampung Cabang Tiga, di sini, diserbu pelanggan bagi mendapatkan bekalan, hari ini.

Peniaga Mohd Faizzam Roslan, 22, berkata dia nyata terkejut apabila lebih 500 pembeli menyerbu premisnya seawal 7 pagi tadi.

Menurutnya, ia adalah situasi kekurangan telur ayam kali pertama dilaluinya sejak mula berniaga kira-kira empat tahun lalu.

"Rata-rata pelanggan tetap sudah sedia maklum bekalan telur akan sampai setiap Isnin, Khamis dan Sabtu menyebabkan mereka menyerbu kedai seawal pagi untuk membeli telur.

"Telur diterima daripada pengeluar adalah sebanyak 5,000 papan sahaja, dan selepas lima jam telur berbaki sebanyak 40 papan saja.

"Itu pun semua telur bersaiz AA, dan semua telur habis terjual petang ini," katanya ketika ditemui di kedainya, di sini.

Menurutnya, disebabkan bekalan telur ayam terhad, setiap pelanggan dihadkan untuk membeli hanya lima papan telur seorang.

"Biasanya tujuh papan seorang, tetapi memandangkan bimbang tidak mencukupi menyebabkan dihadkan lima papan sahaja.

"Telur gred B paling laris berbanding telur gred lain dan ia dijual mengikut harga kawalan yang ditetapkan," katanya.

Menurutnya, dia berasa lega apabila dapat memenuhi permintaan pelanggan pada hari ini.

"Biasanya mereka yang datang ke kedai akan pulang hampa, tetapi kali ini semua pulang dengan telur ayam yang dibeli," katanya.

Sementara itu, pelanggan Mohamad Kasim Abdullah, 50, dari Kampung Ladang Sekolah, di sini, berkata dia sudah tiga hari mencari telur ayam, tetapi bekalan tiada di pasaran.

"Saya sanggup beratur panjang hari ini untuk beli telur, telur yang tinggal hanya saiz AA dan berharga RM13.50 sepapan.

"Sekarang bukan sahaja bekalan telur ayam yang bermasalah di negeri ini, tetapi bekalan ayam juga tidak mencukupi," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 3 Februari 2022 @ 3:35 PM