ZLATKO Dalic hilang kata-kata selepas Croatia kalah kepada Sepanyol. FOTO Agensi
ZLATKO Dalic hilang kata-kata selepas Croatia kalah kepada Sepanyol. FOTO Agensi
AFP

Berlin, Jerman: Pengendali Croatia, Zlatko Dalic memohon maaf kepada ribuan penyokong selepas skuad kendaliannya tewas 3-0 di tangan Sepanyol pada aksi pertama Euro 2024, awal pagi tadi.

"Ia suasana yang sangat hebat. Saya tidak tahu berapa ramai penyokong Croatia berada di sini hari ini (awal pagi tadi)," katanya mengenai kehadiran penyokong Croatia yang membanjiri Stadium Olympia di Berlin itu.

"Saya memohon maaf atas persembahan buruk ini kami...sungguh mengagumkan kehadiran ribuan penyokong yang hadir ke stadium dan saya ingin memohon maaf kepada mereka.

"Kami tidak cukup agresif, kami terlalu jauh daripada prestasi sebenar. Kami memberi mereka (Sepanyol) terlalu banyak ruang.

"Dan apabila anda memberi ruang begitu banyak kepada pemain sebegitu, ia sukar. Terutamanya pada separuh masa pertama," katanya.

Croatia dikejutkan dengan permainan memukau Sepanyol yang memperoleh tiga gol dalam tempoh 45 minit babak pertama.

Jaringan Sepanyol diraih menerusi Alvaro Morata, Fabian Ruiz dan Dani Carvajal, sekaligus meletakkan anak buah Dalic pada kedudukan sukar dalam Kumpulan B.

Croatia seterusnya akan menentang Albania di Hamburg, Rabu ini sebelum aksi penutup kumpulan yang berpotensi menjadi perlawanan getir menentang juara Eropah, Itali di Leipzig pada 25 Jun.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 16 Jun 2024 @ 7:11 AM