SUHANA (kiri) ketika membeli telur ayam. FOTO Yun Mikail
SUHANA (kiri) ketika membeli telur ayam. FOTO Yun Mikail
Yun Mikail


Kota Kinabalu: Susulan kekurangan bekalan telur ayam di pasaran, ada antara pengguna di bandar raya ini terpaksa membeli barangan keperluan berkenaan dengan harga sedikit mahal.

Selain itu, ada antara mereka perlu mendapatkannya di beberapa kedai atau pasar raya berbeza berikutan penjualan telur ayam dihadkan bagi setiap pembeli.

Tinjauan di pasar raya mini Jetsin mendapati bekalan telur ayam gred B dan C difahamkan hanya ada 100 papan sehari sehingga membuatkan pengusaha terpaksa mengehadkan pembelian satu papan telur ayam sahaja untuk setiap orang.

Pekerja kantin, Suhana Jamal, 22, berkata, dia terpaksa pergi ke beberapa kedai atau pasar raya berasingan untuk membeli bekalan telur.

"Banyak kedai atau pasar raya sekarang hanya benarkan pelanggan membeli satu papan telur sahaja dalam satu-satu masa, tetapi saya pula memerlukan telur ayam sekurang-kurangnya lima papan sehari, malah ia akan bertambah dua kali ganda apabila ada tempahan katering.

"Adakalanya saya juga terpaksa datang awal, kira-kira 8 pagi, untuk berbelanja kerana bekalan telur pasti akan habis dengan cepat," katanya.

Seorang lagi pelanggan pasar raya mini Jetsin, Magdelina Joseph, 43, berkata, walaupun hanya membeli telur ayam untuk kegunaan sendiri di rumah, namun dia tetap terasa dengan kenaikan harga telur di pasaran ketika ini.

"Telur boleh dikatakan keperluan wajib yang perlu ada di rumah, malah saya sendiri pasti akan membeli satu papan telur ayam, setiap minggu atau hampir dua minggu sekali, kerana anak-anak suka makan pelbagai menu berasaskan telur.

"Saya perasan harga telur ayam ini semakin mahal sejak awal tahun ini. Ia bukan sahaja mahal tetapi ada masanya sentiasa kehabisan bekalan.

"Contohnya, telur ayam gred B sebelum ini kebiasaannya berharga sekitar RM10, namun sekarang ia boleh mencecah sehingga RM14. Kenaikan ini sudah tentu memberi kesan kepada pengguna terutama peniaga makanan atau restoran," kata ibu kepada dua cahaya mata berkenaan.

Sementara itu, pemilik Jetsin Sdn Bhd, Koh Chung Jade memaklumkan situasi bekalan telur ayam yang diterima pihaknya ketika ini terlalu sedikit untuk menampung permintaan pelanggan setiap hari.

"Kita sebelum ini biasa membuat tempahan sekitar 200 hingga 300 papan setiap hari tetapi sekarang kalau pembekal dapat berikan 100 papan setiap hari, ia boleh dikatakan peniaga bernasib baik berikutan bekalan memang sangat terhad.

"Oleh itu, kita mengambil pendekatan supaya mengehadkan setiap pelanggan hanya boleh membeli satu papan telur sahaja," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 8 Februari 2022 @ 9:52 AM