MASALAH tulang warga emas perlu mendapatkan rawatan segera.
MASALAH tulang warga emas perlu mendapatkan rawatan segera.
Hafiz Ithnin


MASALAH kesihatan tulang dalam kalangan warga emas bukan lagi sesuatu yang asing kerana golongan itu sering kali dilaporkan mengalami kelampungan tulang atau osteoporosis.

Pakar Bedah Ortopedik dan Trauma Hospital Beacon, Datuk Dr Lee Joon Kiong berkata, warga emas perlu lebih berhati-hati dalam aktiviti harian mereka kerana kerapuhan tulang yang meningkat.

"Mereka lebih cenderung mengalami masalah seperti patah tulang sekiranya terjatuh atau terseliuh. Selain itu, kecederaan awal juga boleh menyebabkan potensi komplikasi yang lebih rumit, justeru ia melambatkan proses penyembuhan.

"Perkara ini menjadi risiko yang mendorong keperluan rawatan dan penjagaan komprehensif daripada perkhidmatan ortogeriatrik. Usahlah menunggu sehingga berlaku kecederaan sebelum mendapatkan perkhidmatan ortogeriatrik," katanya.

Katanya, ketumpatan tulang atau jisim tulang yang berkurangan adalah salah satu isu kesihatan utama yang dihadapi warga emas apabila usia mereka meningkat.

"Jisim tulang manusia meningkat dengan usia selepas lahir lalu mencapai kemuncaknya sekitar usia 25 tahun dan secara beransur-ansur berkurangan pada usia tua. Wanita secara khususnya lebih terdedah kepada isu di atas disebabkan faktor-faktor seperti perubahan hormon ketika menopaus

yang mengakibatkan patah mampatan atau patah tulang yang tidak traumatis pada tulang belakang seperti kifosis dan kehilangan ketinggian.

"Ramai pesakit warga emas hanya sedar bahawa mereka mengalami osteoporosis selepas mereka menjadi mangsa kepada patah tulang kerapuhan selepas jatuh daripada ketinggian berdiri. Ini disebabkan kekurangan gejala atau tanda peringatan yang jelas bagi osteoporosis itu sendiri," katanya.

Tambahnya, satu lagi isu yang besar adalah kekurangan yang amat ketara dalam pencegahan dan kesedaran kesihatan tulang di negara ini, terutamanya jika dibandingkan dengan negara-negara Eropah dan Amerika, osteoporosis tidak termasuk dalam senarai sepuluh penyakit utama.

"Secara umumnya, kebanyakan dari kita lebih memberi perhatian kepada isu seperti penyakit jantung, kencing manis, hipertensi dan mempercayai bahawa osteoporosis adalah aspek semula jadi daripada proses penuaan.

"Sementara itu, masalah seperti patah pinggul dalam kalangan pesakit warga emas dengan osteoporosis boleh merumitkan keadaan lalu membawa kepada

kecederaan yang lebih parah," katanya.

Katanya, kira-kira 25 peratus daripada individu warga emas meninggal dunia dalam tempoh satu tahun disebabkan patah pinggul, 50 peratus yang lain bergantung kepada tongkat atau kerusi roda untuk mobiliti, manakala hanya 25 peratus yang pulih mobilitinya tanpa bergantung kepada bantuan.

"Rawatan yang tepat pada masanya adalah penting untuk mengurangkan tempoh istirahat di atas katil. Selepas mengalami patah pinggul, mendapatkan rawatan segera penting kerana kesan daripada patah pinggul boleh menyebabkan pesakit terpaksa berada dalam tempoh istirahat yang panjang.

"Malangnya, walaupun penting untuk pemulihan tulang, tempoh istirahat yang berpanjangan membawa risiko tersendiri kerana ramai pesakit mungkin

meninggal dunia akibat komplikasi yang berlaku termasuk tetapi tidak terhad kepada pneumonia, jangkitan bakteria, jangkitan saluran kencing dan trombosis vena," katanya.

Justeru katanya, pembedahan perlu dilakukan secepat mungkin selepas patah tulang untuk membolehkan pesakit keluar dari katil dan mencapai mobiliti secepat mungkin.

"Bagi pesakit warga emas, prinsip rawatan patah pinggul adalah dengan menjalankan pembedahan dalam masa 48 jam selepas patah tulang. Keperluan untuk pembedahan segera menjadi lebih penting jika pesakit sudah mengalami komorbiditi lain seperti penyakit jantung, hipertensi atau kencing manis.

"Dalam kes sedemikian, pembedahan patah tulang mungkin perlu ditangguhkan sementara pesakit menerima rawatan untuk keadaan perubatanmereka daripada doktor perubatan dalaman terlebih dahulu," katanya.

Jelasnya, masih ramai yang beranggapan bahawa patah tulang pada warga emas hanya memerlukan penjagaan oleh pakar bedah ortopedik. Namun, pembedahan sebegini perlu dirawat bersama oleh pakar geriatrik dan pakar bedah ortopedik untuk memastikan pelan rawatan yang paling

sesuai bagi pesakit dan mengurangkan sebarang risiko.

"Ramai pakar bedah ortopedik sering terlepas pandang masalah osteoporosis dalam pesakit sebelum dan selepas pembedahan yang mampu membawa kepada kemungkinan jatuh berulang.

"Mereka percaya bahawa jika ketumpatan tulang pesakit ditingkatkan dan tulang menjadi lebih kuat, pesakit akan kurang berisiko mengalami patah tulang jika jatuh lagi pada masa hadapan.

"Malah, kebanyakan pesakit dalam pembedahan penggantian sendi lutut untuk menggantikan sendi lutut yang cedera atau haus masih dapat menggunakan sendi tiruan yang dipasang secara normal selama 20 tahun atau lebih," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 16 Jun 2024 @ 7:01 AM