AJWAD Ikram tetap membantu isteri berniaga walaupun sedang berjuang melawan kanser. FOTO Ihsan Nurul Fatin Abd Rahim
AJWAD Ikram tetap membantu isteri berniaga walaupun sedang berjuang melawan kanser. FOTO Ihsan Nurul Fatin Abd Rahim
Noor Hidayah Tanzizi

Gerik: "Suami adalah hero dan bapa hebat. Dalam keadaan dirinya melawan kanser, dia masih bersemangat tinggi mahu membantu saya berniaga serta menjaga anak," kata Nurul Fatin Abd Rahim, 29.

Dia yang menetap di Kampung Padang Kunyit, di sini, berkongsi kisah suami, Ajwad Ikram Ahmad, 29, yang sedang berjuang melawan kanser usus tahap tiga sejak Oktober lalu.

Ibu kepada dua anak itu berkata, suaminya sebelum ini bekerja dalam bidang pendawaian elektrik.

"Suami terpaksa mengambil cuti sakit selama sembilan bulan untuk menjalani kemoterapi di Hospital Kepala Batas, Pulau Pinang.

"Kehidupan kami sekeluarga berubah selepas suami disahkan mengidap kanser. Sejak itu saya berniaga gerai jualan air berasaskan jeli di hadapan rumah untuk menampung kehidupan.

"Suami perlu menjalani pembedahan di Hospital Seberang Jaya. Dia turut perlu melakukan ujian darah dan imbasan tomografi berkomputer (CT Scan) bagi memastikan tahap sel kanser di dalam tubuhnya.

"Suami juga baru selesai menjalani rawatan kemoterapi kali kelapan yang juga rawatan sesi terakhir dan keadaannya masih lemah," katanya semalam.

NURUL Fatin menemani Ajwad Ikram ketika mendapatkan rawatan bagi  melawan kanser usus tahap tiga. FOTO Ihsan Nurul Fatin Abd Rahim
NURUL Fatin menemani Ajwad Ikram ketika mendapatkan rawatan bagi melawan kanser usus tahap tiga. FOTO Ihsan Nurul Fatin Abd Rahim

Katanya, meskipun dalam keadaan kurang sihat dan kuat, suaminya masih tetap mahu meringankan bebannya dengan membantu menguruskan gerai kecil.

"Suami bantu angkat barang jualan dan jaga anak. Kadang-kadang kalau saya sibuk di gerai, dia bantu kemaskan barang walaupun kudratnya tidak sama seperti dahulu.

"Meskipun tidak sihat, dia tetap mahu temankan saya berniaga. Walaupun dihalang namun dia tetap berkeras mahu membantu," katanya yang bergantung sepenuhnya dengan perniagaan air.

Katanya, suami menguatkan semangatnya demi dua anak yang masih kecil berusia dua dan enam tahun.

"Anak tahu ayah mereka sakit dan setiap kali hantar suami ke hospital untuk rawatan kemoterapi, anak sulung pasti akan menangis. Malah setiap kali suami muntah atau menahan sakit, anak-anak turut akan berasa sebak," katanya.

NURUL Fatin bersama suaminya Ajwad Ikram dan dua anak mereka. FOTO Ihsan Nurul Fatin Abd Rahim
NURUL Fatin bersama suaminya Ajwad Ikram dan dua anak mereka. FOTO Ihsan Nurul Fatin Abd Rahim

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 16 Jun 2024 @ 7:20 AM