Muhammad Saufi Hassan

Pelbagai pihak termasuk netizen mempertikaikan pelaksanaan ibadah korban di luar negara sedangkan ia boleh dilakukan di dalam negara, sekali gus membantu umat Islam tempatan.

Pandangan itu sedikit sebanyak mempengaruhi persepsi umum berhubung pelaksanaan ibadah berkenaan di negara luar.

Ada yang terlalu berkira untuk mengeluarkan belanja bagi melaksanakan ibadah ini menyebabkan agamawan terpaksa memberikan pencerahan menerusi pelbagai platform termasuk media sosial.

Kafe Ahad minggu ini merungkai persoalan berkenaan bersama Pengasas EZ Qurban Sdn Bhd, USTAZ AZHAR AB SHUKOR yang berkongsi pandangannya bersama wartawan MUHAMMAD SAUFI HASSAN.

Kenapa perlu buat korban di luar dan tidak di dalam negara, pandangan ustaz?

Alhamdulillah, saya suka dengan soalan ini, kenapa perlu korban di luar, kenapa tidak dalam negara, ini suatu pemikiran kritikal yang wajar diteruskan kerana setiap penyumbang mempunyai hak untuk mengetahui ke mana sumbangan mereka akan disalurkan.

Kalau kita lihat semula, sebaik-baik korban itu sebenarnya dibuat di depan mata sendiri, kalau boleh kita beli sendiri dan kita sembelih sendiri. Ini korban yang paling baik.

Jadi, kenapa kita korban di luar negara? Saya kira soalan pokok adalah kepada perlu kita melakukan korban.

Menerusi pengalaman kami selama hampir 18 tahun ini, kami bukan saja fokus di luar negara sebenarnya, dalam negara pun banyak kami lakukan.

Kami meletakkan objektif untuk menyemarakkan ibadah korban ini supaya setiap umat Islam ini mengambil nilai, ibrah dan pengajaran dalam ibadah berkenaan.

Korban ini adalah ibadah jadi pastinya kita mahu berlumba-lumba melakukan ibadah, untuk itu kami di EZ Qurban sentiasa meletakkan objektif berkenaan sebagai tonggak.

Menjawab persoalan berkenaan, saudara Islam kita di luar sana tidak seperti umat Islam di negara ini yang mungkin boleh memperoleh atau membeli daging secara berkala. Di negara seperti benua Afrika itu, ingin memperoleh daging sesuatu yang sukar dan bagi mereka, ia mahal.

Saya sendiri mempunyai pengalaman apabila kami serahkan daging korban itu kepada saudara Islam kita di negara-negara Afrika ini, kami dapat lihat wajah mereka ini begitu menghargai pemberian itu.

Ini tidak bermaksud rakyat Islam di negara ini tidak menghargai, tetapi kita di sini lebih mudah untuk memperoleh daging ini.

Selalunya Aidiladha dibandingkan dengan Aidilfitri, bagaimana ustaz melihat perkara ini?

Kita bila Hari Raya Haji itu ia ada rasa kurang sikit sebab ia tidak sampai ke hati jika kita banding dengan Hari Raya Aidilfitri. Jadi, pada saya di antara tugas kami orang yang menggerakkan korban ini kami mahu timbulkan balik supaya kita menyambut Hari Raya Haji ini seolah macam mana umat Islam di Makkah yang begitu meriah.

Itu yang kami mahu timbulkan dan sebenarnya kami harap daripada kawan-kawan juga khususnya Harian Metro (HM) menerusi kerjasama ini, kami dapat uar-uarkan program serta pendekatan yang sudah kami laksanakan selama ini.

Kami mahu bangkitkan semula suasana meriah Hari Raya Haji itu dalam keadaan yang benar-benar 'zouq' serta menghayati ibrah daripada hari raya ini.

EZ Qurban menghantar pasukan untuk melaksanakan ibadah korban di beberapa negara antaranya di Senegal, Tanzania serta beberapa negara benua Afrika.
EZ Qurban menghantar pasukan untuk melaksanakan ibadah korban di beberapa negara antaranya di Senegal, Tanzania serta beberapa negara benua Afrika.

Sebagai Pengasas EZ Qurban, pastinya ustaz sibuk dengan urusan di luar negara, bagaimana dengan tahun ini?

Ini tahun kedua saya duduk dalam iaitu di Malaysia. Kami mula-mula 18 tahun lalu, masa itu muda lagi, kalau dulu saya keluar waktu korban memang kadang-kadang sampai dua negara. Raya pertama dan raya kedua.

Tahun ini kami juga hantar pasukan kami di beberapa negara antaranya di Senegal, Tanzania dan beberapa negara benua Afrika yang lain termasuk pelaksanaan korban di India turut dilakukan.

Program korban ini turut kami laksanakan di dalam negara dan bersama Harian Metro pada hari raya kedua iaitu di Kuala Selangor (Selangor).

Boleh ustaz ceritakan sedikit latar belakang penubuhan EZ Qurban ini?

Saya pernah bertugas 2003 hingga 2004, saya pergi ke Kemboja iaitu kurang lebih sekitar 20 tahun lalu.

Kemboja tidak macam sekarang kalau betul-betul. Dulu, elektrik 30 minit ada, empat jam tiada, kalau pula ada air ada masa yang tiada dan terpaksa ambil air di sungai.

Jadi, dua tahun saya duduk di sana dan saya melihat ramai pihak pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Alhamdulillah Malaysia antara negara yang banyak memberi bantuan ke Kemboja.

Perkara itu saya lihat berlaku pada hari raya korban saja, selepas Hari Raya Korban tiada lagi kemeriahan seperti itu, jadi perlunya suatu pengurusan yang lebih profesional macam mana orang pergi haji dan Tabung Haji, orang kutip zakat ada Lembaga Zakat, begitu juga dengan korban dan akikah ini, perlu ada satu pengurusan yang baik.

Bertitik tolak di situ, saya fikirkan perlu ada satu badan yang menguruskan urusan berkenaan iaitu korban serta akikah maka, tertubuh EZ Qurban dalam menyampaikan perkhidmatan kepada pelanggan dengan pengurusan yang sistematik serta profesional.

Apabila kami buat bisnes ini, saya syaratkan supaya keuntungan itu perlu dibahagikan juga dan pada masa itu, saya menguruskan pelajar Kemboja yang belajar di luar negeri, kami infak dan Alhamdulillah semuanya dipermudahkan sepanjang tempoh itu sehingga hari ini.

Apakah pembabitan media dengan kerjasama strategik mampu menguruskan persepsi umum, pandangan ustaz?

Bagi EZ Qurban, pembabitan media memberikan pendedahan kepada umum berhubung gerak kerja kami sebagai sebuah badan yang banyak menguruskan mengenai ibadah korban ataupun akikah.

Jadi, kerjasama strategik ini memberikan peluang kepada kami untuk memperlihatkan gerak kerja sebenar dengan adanya pihak ketiga iaitu media.

Kalau kami sendiri yang tulis laporan, mungkin kami mahu cerita yang elok, yang bagus saja, tetapi dengan adanya media, ia akan memberikan pelaporan seimbang.

Pada masa sama, orang awam juga lebih percaya dengan kami di EZ Qurban apabila program serta pelaksanaan korban daripada kami disiarkan oleh akhbar serta media massa.

Ini antara kaedah kami di EZ Qurban supaya menguruskan persepsi umum, sekali gus memberi pencerahan secara telus.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 16 Jun 2024 @ 7:10 AM