Keadaan motosikal dan kereta yang menyebabkan dua beradik maut. FOTO Ihsan Pembaca
Keadaan motosikal dan kereta yang menyebabkan dua beradik maut. FOTO Ihsan Pembaca
Zuliaty Zulkiffli


Yan: Dua beradik maut selepas motosikal yang dinaiki mereka bertembung dengan kereta Toyota Vios dalam kemalangan di Jalan Teroi Titi Lahar, di sini, malam tadi.

Dalam kemalangan jam 8.30 malam itu, mangsa yang maut dikenali sebagai Muhammad Zulqarnain Mohd Delmi, 22, dan adiknya, Ahmad Firashi Ilyas, 11, yang menaiki motosikal jenis Honda RS-X.

Bagaimanapun, pemandu kereta terbabit yang berusia 61 tahun pula cedera di bahagian dada.

Ketua Polis Daerah Yan, Deputi Superintendan Shahnaz Akhtar Haji berkata, Pejabat Pertanyaan Trafik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Yan menerima maklumat daripada orang awam pada jam 8.30 malam tadi berhubung kemalangan maut yang membabitkan motosikal dan kereta di lokasi kejadian.

Beliau berkata, hasil siasatan mendapati, kemalangan dipercayai berlaku apabila motosikal yang dinaiki dua beradik itu dari arah Yan menghala ke Gurun manakala kereta Toyota Vios terbabit dari arah bertentangan.

"Kereta Toyota Vios yang dipandu warga emas terbabit dipercayai hendak memotong dan masuk ke laluan bertentangan lalu bertembung dengan motosikal yang dinaiki dua beradik itu.

"Akibat daripada itu, penunggang dan pembonceng motosikal meninggal dunia di tempat kejadian.

"Mayat mereka kemudian dihantar ke Unit Forensik Hospital Yan untuk tujuan bedah siasat," katanya ketika dihubungi hari ini.

Shahnaz berkata, kedua-dua beradik itu menetap di alamat Kampung Charuk Tala, Mukim Jeneri, Sik dan si abang yang maut bekerja sendiri manakala si adik pula masih belajar.

Beliau berkata, kedua-dua mereka mengalami cedera dalaman badan dan kepala.

"Pemandu kereta Toyota Vios itu pula beralamat di Perumahan Awam 2, Pantai Murni, di sini dan bekerja di kedai pajak gadai.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 16 Jun 2024 @ 7:57 AM