GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Izzati Zaidi


Kuala Lumpur: Rata-rata peniaga dan pengguna bimbang dengan bekalan telur ayam masih tidak pulih dan sukar didapati di pasaran.

Tinjauan di beberapa buah kedai runcit dan pasar raya di sekitar Lembah Klang mendapati telur ayam jenis Omega lebih banyak berbanding telur ayam biasa.

Manakala di sesetengah premis, telur jenis berkenaan habis dijual.

Suri rumah, Saidah Mokhtar, 41, berkata, dia terpaksa pergi ke beberapa kedai kerana kekurangan bekalan telur .

"Pergi ke mana-mana kedai runcit kebanyakan kedai memang kehabisan bekalan telur ayam biasa yang ada hanya telur Omega dan setengah kedai telur ayam Omega pun sudah habis.

"Pagi ini saya nak beli yang 10 biji telur ayam atau telur Omega pun tiada stok terpaksa pergi ke kedai lebih jauh untuk dapatkan telur ayam," katanya.

Sementara itu, peniaga kedai runcit Ashraff Salim, 29, berkata, kedainya kekal menjual telur ayam Omega kerana ketiadaan bekalan telur ayam biasa.

Menurutnya, hanya telur Omega antara pesanan yang sampai.

"Saya buat pesanan untuk tempahan telur daripada pembekal tapi yang sampai telur Omega saja.

"Telur Omega hanya untuk kegunaan bukan harian kerana peniaga memang tidak mahu menggunakannya kerana mahal. Sebab itu telur Omega banyak berbaki kerana permintaan rendah.

"Telur Omega dijual pada harga RM7.50 hingga RM11.90 dengan kuantiti 10 hingga 15 biji," katanya.

Terdahulu, media melaporkan sebanyak 40 premis di beberapa kawasan di Selangor dikesan mengalami kekurangan bekalan telur ayam menerusi Ops Terjah dijalankan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Selangor.

Pengarah KPDN Selangor, Mohd Zuhairi Mat Radey berkata, antara punca kekurangan bekalan barang keperluan asas adalah berikutan daripada permintaan yang tinggi pengguna di sesuatu lokaliti.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 22 Disember 2022 @ 12:13 PM