FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
Norzamira Che Noh


Shah Alam: Kerajaan Selangor dalam proses rundingan bersama pembekal telur ayam di negeri ini dalam usaha untuk menurunkan harga barangan itu.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Infrastruktur, Kemudahan Awam, Pemodenan Pertanian dan Industri Asas Tani negeri, Izham Hashim berkata, Selangor tidak mengalami kekurangan bekalan telur ayam yang serius, namun terdapat apabila harga ayam naik, harga telur akan turut naik.

"Telur ayam adalah bahan makanan penting, selain ayam, dan kekurangan bekalan akan kita hadapi apabila mahu menurunkan harga kerana pembekal memilih untuk menjual ke tempat lain.

"Justeru, kita kini dalam perbincangan bersama pembekal yang mana kita akan membantu dari segi sewaan tapak (ladang ternakan) serta makanan ternakan dan mereka boleh membekalkan telur ayam pada kita dengan harga berpatutan," katanya ketika ditemui di Majlis Anugerah Ikon Agro Selangor 2021 di Wisma PKPS dekat sini, semalam.

Beliau berkata, pihaknya mahu memastikan harga telur ayam turut dapat dikurangkan seperti yang inisiatif kerajaan negeri yang meletakkan harga siling runcit RM8 bagi ayam standard.

"Kita mahu harga betul-betul rendah bawah harga siling yang ditetapkan kini. Di Selangor, setakat ini, bekalan tidak (berkurangan) sangat tetapi harga (agak tinggi).

"Insya-Allah minggu ini, rundingan mengenai harga telur ayam mengikut gred akan selesai sebelum dipasarkan dalam Program Intervensi Harga Makanan Ehsan bawah Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS)," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 8 Februari 2022 @ 8:56 AM