BANDAR purba Wuhu.
BANDAR purba Wuhu.
Lizam Ridzuan


Berpeluang ke negara China untuk kesekian kalinya memberikan pengalaman baharu buat penulis terutama ke lokasi yang pertama kali dikunjungi.

Terbang ke negara tembok besar itu baru-baru ini atas urusan tugasan membawa penulis ke Beijing, Wuhu dan Shanghai.

Menaiki pesawat Singapore Airlines dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA1) sebelum transit di Singapura dan seterusnya mendarat di Beijing untuk ke pameran Auto Bejing 2024.

Terdapat pelbagai jenama dipamerkan di sana dan edisi kali ini menampilkan banyak kenderaan elektrik (EV) serta kenderaan tenaga baharu (NEV) meliputi kawasan sekitar 230,000 meter persegi.

BENTUK bangunan dijaga rapi.
BENTUK bangunan dijaga rapi.

Selesai di Beijing, penulis dan media lain bergerak ke Wuhu yang terletak 1,000 kilometer (km) dari ibu negara itu menaiki kereta api laju yang mengambil masa kira-kira empat jam 30 minit.

Wuhu berada di daerah Anhui dan kami ke sana bagi menyertai persidangan perniagaan antarabangsa pembuat kenderaan Chery International yang mana di sana terletaknya lokasi ibu pejabat dan kilang pembuatan jenama itu.

Meskipun sibuk dengan atur cara yang padat, tapi kami sempat dibawa melawat ke beberapa lokasi menarik antaranya ialah Bandar Purba Wuhu untuk melihat seni binaan dan suasana di bandar itu yang mengimbau nostalgia.

Sebagai tarikan pelancong, kawasan ini terjaga dengan baik malah amat sesuai untuk kaki 'Outfit Of The Day' (OOTD).

Kawasan ini dahulunya banyak yang sudah musnah ditelan pembangunan namun selepas empat tahun ia dibaik pulih ia kembali dan dibuka kepada awam pada 2021.

Laluan masuk utama menerusi rekaan bangunan istana lama sebelum berjalan menyusuri deretan kedai. Ia memberi peluang kepada penulis dapat rasakan seperti berada pada zaman dahulu yang mana dikatakan lokasi ini wujud sekitar abad ke-15 zaman Dinasti Ming dan Qing.

Malah kawasan ini turut dibahagikan kepada beberapa bahagian seperti jalan iaitu Huajie, Nanmenwan and Nanzheng daripada bangunan batu-bata dan kayu dua tingkat mewujudkan suasana penuh memori.

PEMANDANGAN indah di tepi sungai Huangpu.
PEMANDANGAN indah di tepi sungai Huangpu.

Kunjungan pada sebelah malam menjadikan keadaan lebih menarik dengan kesan pencahayaan dan lampu neon. Apatah lagi hanya pejalan kaki yang boleh memasuki kawasan ini kerana tiada kenderaan lain yang dibenarkan memasukinya.

Keadaan malam juga sangat tenang dengan pengunjung dapat berjalan dengan selesa sambil menyelami budaya dan sejarah China yang menggabungkan elemen moden serta klasik dalam satu.

Selain barangan cenderahati, lokasi ini juga banyak menyediakan kafe dan kedai makanan namun penulis hanya mencuba air minuman sahaja kerana makanan di sana kebanyakannya adalah tidak halal.

Sememangnya berada di sini tidak boleh terburu-buru bagi menikmati pemandangan persekitaran yang menakjubkan dan selepas lebih satu jam di sana kami semua pulang ke hotel.

Selepas beberapa hari selesai urusan kerja di Wuhu, kami bergerak untuk pulang ke Shanghai menaiki bas sebelum pulang ke Malaysia.

Perjalanan di atas lebuh raya ke Shanghai sejauh lebih 400km mengambil masa sekitar empat jam untuk tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Shanghai Pudong.

PENULIS di hadapan ibu pejabat Chery International.
PENULIS di hadapan ibu pejabat Chery International.

Oleh kerana waktu penerbangan ke Malaysia masih lagi lama, maka kami memutuskan untuk ke bandar Shanghai menaiki 'subway' Shanghai Metro dan perjalanan sangat lancar dan bersistematik.

Setibanya di Shanghai, kami sempat berjalan di sekitar lokasi tumpuan utama seperti The Bund, di tepi Sungai Huangpu dengan pemandangan bangunan pencakar langit seperti Menara Shanghai di seberang sana.

Kebetulan pula ketika itu adalah cuti Hari Pekerja maka sememangnya kawasan itu dipenuhi dengan ribuan manusia yang mengambil kesempatan atas cuti panjang di negara itu untuk liburan.

Walaupun laluan pejalan kaki dan trafik sesak namun ia dikawal tentera di sepanjang jalan melancarkan laluan selain sikap rakyat di sana yang agak disiplin mengikut segala arahan yang diberi menjadikan suasana tidak huru-hara.

Selepas beberapa jam di bandar Shanghai, penulis dan rakan lain mengambil keputusan untuk beredar semula ke lapangan terbang juga menggunakan subway dan sampai dengan lancar dan selamat.

Kami berlepas jam 11 malam sebelum transit di Singapura dan selamat tiba Malaysia pada jam 10 pagi keesokan harinya.

Sememangnya memori di China bagi perjalanan kali ini banyak sekali yang manis dan menarik untuk dijadikan kenangan!

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 16 Jun 2024 @ 7:01 AM