Mohd Roji Kawi


Kuching: Tiada lagi perkhidmatan feri menghubungkan jalan pesisir di Sarawak menjelang akhir 2025 apabila semua projek jambatan di laluan berkenaan disiapkan.

Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Abang Openg berkata, peruntukan berjumlah RM5 bilion sudah disediakan bagi membina tujuh jambatan di jalan pesisir itu.

Beliau berkata, pembinaan enam daripada jambatan terbabit sudah bermula iaitu Jambatan Paloh dan Batang Lassa di Daro, Jambatan Sungai Krian di Saratok, Jambatan Saribas di Pusa, Jambatan Kemena di Bintulu dan Jambatan Rambungan di Lundu.

"Hanya Jambatan Batang Lupar yang masih belum memulakan pembinaan, tetapi peruntukan sudah disediakan dan proses tawaran tender juga sudah dibuka.

"Jambatan Batang Lupar yang sepanjang lima kilometer adalah yang terpanjang antara tujuh jambatan yang kita bina itu," katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas menyempurnakan Majlis Pecah Tanah Projek Rakyat di tapak bekas kuari Ang Cheng Ho di Jalan Datuk Stephen Yong, Batu Kawa di sini, hari ini.

Turut hadir, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Dr Sim Kui Hian dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Amar Jaul Samion.

Abang Johari berkata, cadangan untuk menghentikan perkhidmatan feri bagi menghubungkan jalan pesisir itu bukan hanya apabila tercetus tragedi seperti kemalangan yang meragut nyawa sembilan sekeluarga di feri Triso untuk menyeberangi Sungai Batang Lupar, Jumaat lalu.

DATUK Patinggi Abang Johari Tun Openg, merasmikan Majlis Pecah Tanah Projek Rakyat di tempat Bekas Tapak Kuari Ang Cheng Ho, Off Jalan Datuk Stephen Yong, Batu Kawah Kuching. FOTO Nadim Bokhari
DATUK Patinggi Abang Johari Tun Openg, merasmikan Majlis Pecah Tanah Projek Rakyat di tempat Bekas Tapak Kuari Ang Cheng Ho, Off Jalan Datuk Stephen Yong, Batu Kawah Kuching. FOTO Nadim Bokhari

"Ia sudah lama dirancang dan ia adalah idea Tok Nan (bekas Ketua Menteri, Allahyarham Tan Sri Adenan Satem).

"Saya hanya meneruskannya untuk memastikan cadangan itu menjadi kenyataan dan apabila semua jambatan itu siap, rakyat akan melaluinya tanpa perlu membayar tol," katanya.

Katanya lagi, pembinaan Jambatan Batang Lupar yang dijangka bermula tidak lama lagi akan mengambil masa paling lama iaitu kira-kira empat tahun berikutan jaraknya yang agak panjang.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 5 January 2021 @ 3:22 PM