ABANG Johari Tun Openg. FOTO Bernama
ABANG Johari Tun Openg. FOTO Bernama
BERNAMA

Kuching: Kawasan Tebingan Sungai Sri Aman akan diperbesar bagi memberikan lebih banyak kemudahan kepada rakyat di kawasan itu, kata Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

Beliau berkata penambahbaikan tebingan sungai akan memudahkan penduduk di situ membawa naik hasil tangkapan ikan bulu, yang sinonim dengan bandar Simanggang.

"Wakil rakyat Sri Aman ada minta tambah lagi 'waterfront' (tebingan) ini sampai ke hulu sungai (Batang Lupar) supaya kita ada tempat untuk bawa ikan bulu yang ditangkap untuk Sri Aman. Kita akan teruskan projek waterfront ini dengan peruntukan yang kita akan beri untuk meningkatkan kemudahan.

"Akan ada lokasi tertentu (pembinaan tebingan) dan tidak akan menjejaskan kawasan tebingan sekarang. Pembangunan ini menjadikan Sri Aman bertukar wajah menjadi lebih baik," katanya ketika berucap merasmikan Pesta Benak Sri Aman 2022 di Tebingan Sungai Sri Aman hari ini.

Mengenai nama baharu bagi Kementerian Pemodenan Pertanian dan Pembangunan Wilayah yang bakal diumumkan kelak, Abang Johari berkata langkah itu diambil bagi menghapuskan gambaran golongan petani sebagai komuniti yang hidup susah.

"Jadi petani (mimik) muka (kena) susah, pegang cangkul dan pakai topi, tapi sebenarnya pertanian adalah sektor yang gunakan kaedah baharu termasuklah kaedah digital teknologi dalam pengeluaran makanan," katanya.

Turut hadir Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Nancy Shukri dan Menteri Pemodenan Pertanian dan Pembangunan Wilayah Sarawak Datuk Seri Dr Stephen Rundi Utom.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 10 September 2022 @ 3:00 PM