KIM Swee memberi amanat kepada pemain ketika latihan menghadapi JDT di Likas. FOTO Ihsan Sabah FC
KIM Swee memberi amanat kepada pemain ketika latihan menghadapi JDT di Likas. FOTO Ihsan Sabah FC


Kota Kinabalu: Sabah FC berdepan cabaran getir menentang Johor Darul Ta'zim (JDT) berikutan kecederaan dua penyerang penting pasukan dalam aksi Liga Super di Stadium Likas, malam esok.

Setelah ketiadaan Ramon Machado yang meninggalkan Sabah selepas tamat aksi suku akhir Piala FA minggu lalu, kini Saddil Ramdani dan Darren Lok pula dikhabarkan tidak dapat beraksi.

Ketua Jurulatih Sabah, Datuk Ong Kim Swee mengesahkan dua tonggak penting serangan Sang Badak itu masih mengalami kecederaan yang memungkinkan mereka tidak dapat diturunkan.

Bagaimanapun, katanya beliau sudah bersedia dengan pemain lain yang bakal mengambil alih posisi mereka bagi memastikan Sang Badak tetap memberi saingan sengit ke atas JDT.

"Kedua-dua pemain ini masih mengalami kecederaan dan sudah pasti ia akan memberi satu cabaran besar, namun beberapa pemain lain bersedia mengambil alih posisi mereka.

"Apa yang penting mereka perlu mengambil peluang ini sebaik mungkin termasuk memberi komitmen tinggi selain menimba pengalaman serta bersiap sedia mental dan fizikal bermain dengan pasukan ternama Liga Super," katanya mengulas persiapan Sabah menghadapi JDT.

Kim Swee menyifatkan perlawanan kali ini sangat berbeza, selain penting kepada Sabah, lebih-lebih lagi bermain dengan JDT kerana membabitkan kedudukan liga.

Katanya, meskipun menyedari berdepan Harimau Selatan bukan perkara yang mudah, namun pemain Sang Badak perlu memberikan saingan yang hebat dan bermain dengan lebih baik.

"Kita sedar ia bukan satu perkara yang mudah tetapi kita harus memberikan saingan hebat serta memastikan Sabah dapat beraksi dengan lebih baik terutama selepas tewas dua perlawanan dengan Terengganu baru-baru ini," katanya.

Sementara itu, mengulas mengenai beberapa isu membabitkan Sabah yang tular di media sosial baru-baru ini, Kim Swee berkata, semua isu itu sudah pun diselesaikan.

Berikutan itu beliau berharap semua pemain Sang Badak memberikan tumpuan penuh kepada perlawanan penting menentang JDT, esok.

"Kita yakin isu-isu luar ini tidak akan mengganggu tumpuan dan fokus pemain, mereka perlu meningkatkan prestasi selepas gagal memperoleh kemenangan daripada dua perlawanan yang lepas.

"Kita tidak bermain dengan begitu baik (lawan Terengganu) dan mereka (pemain) harus melupakan kekalahan itu dengan menumpukan kepada perlawanan esok agar dapat bermain serta mengembalikan prestasi sebenar selepas tewas kepada Terengganu," katanya.

Antara isu yang dikaitkan dengan Sabah sebelum ini ialah masalah pembayaran gaji pemain dan ia didakwa antara punca kekalahan dengan agregat 7-0 di tangan Terengganu dalam dua aksi suku akhir Piala FA.

Kim Swee juga berharap penyokong Sabah turun beramai-ramai ke Stadium Likas malam esok untuk meningkatkan semangat pemain selepas tewas kepada Terengganu sebelum ini.

"Saya tahu ramai pihak yang kecewa, namun kita harus teruskan di mana ini penting untuk mendapatkan sokongan berterusan terutama daripada penyokong yang sememangnya akan memberi impak yang sangat berlainan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 12 Julai 2024 @ 11:02 AM