LAPORAN portal Harian Metro sebelum ini.
LAPORAN portal Harian Metro sebelum ini.
Ahmad Hasbi


Seremban: Jabatan Pendakwaan Syariah Negeri Sembilan akan memfailkan permohonan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Syariah, di sini, berkait hukuman ke atas pemuzik jalanan yang disabitkan mengajar ajaran sesat, semalam.

Ketua Pendakwa Syarie Jabatan Pendakwaan Syariah Negeri Sembilan, Raja Mazelan Raja Deraman berkata, hukuman terhadap tertuduh dirasakan terlalu ringan, namun dalam masa sama masih menghormati keputusan mahkamah.

"Hukuman yang dijatuhkan dirasakan terlalu ringan dan tidak memadai dengan kesalahan yang dilakukan.

"Kami juga berpendapat hukuman tegas dan keras perlu dijatuhkan bagi membendung kes ajaran sesat yang berleluasa tumbuh bagai cendawan khususnya di Negeri Sembilan," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Beliau berkata, pihaknya percaya rayuan yang akan dibuat nanti bakal mempertimbangkan keputusan yang lebih wajar daripada beberapa sudut tertentu khususnya kesalahan yang dilakukan.

"Kesalahan dilakukan adalah sangat serius, berat dan membabitkan akidah.

"Sewajarnya perkara ini diberikan perhatian yang sangat serius oleh mahkamah dan tidak boleh sesekali disamakan dengan kesalahan lain," katanya.

Akhbar ini semalam melaporkan, pemuzik jalanan didenda RM2,000 dan penjara selama sebulan oleh Mahkamah Tinggi Syariah, di sini, atas pertuduhan mengajar ajaran berlawanan dengan hukum syarak berkaitan ajaran Millah Abraham kepada isterinya, tahun lalu.

Tertuduh, Norasid Md Said, 50, dijatuhi hukuman itu selepas mengaku bersalah pertuduhan yang dibacakan pembantu mahkamah di hadapan Hakim Ruzita Ramli.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 12 Julai 2024 @ 11:22 AM