ABANG Johari (dua kiri) ketika meninjau persiapan projek High Level Tank Sebuyau. FOTO BERNAMA
ABANG Johari (dua kiri) ketika meninjau persiapan projek High Level Tank Sebuyau. FOTO BERNAMA
BERNAMA

Sebuyau: Projek Tebatan Banjir sepanjang jalan pesisir Sarawak meliputi kawasan di bawah Agensi Pembangunan Bersepadu Wilayah Samarahan (IRSDA), menunjukkan kejayaan awal biarpun masih belum siap sepenuhya.

Ketua Menteri Sarawak Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata, projek itu sudah menunjukkan kesannya menghalang kemasukan air masin ke Sebuyau, yang merupakan salah sebuah kawasan di bawah projek itu yang akan turut membabitkan Asajaya, Gedong dan Simunjan.

"Saya difahamkan tiada lagi air masuk ke kawasan Sebuyau ini disebabkan blok F (kawasan pembinaan tebatan banjir) telah siap. Projek yang diluluskan memberikan kesan yang amat positif terutamanya masyarakat di kawasan pesisir ini," katanya.

Bercakap kepada pemberita selepas menghadiri taklimat pembangunan di Pejabat Daerah Kecil Sebuyau di sini, beliau berkata, kerajaan Sarawak memperuntukkan sejumlah RM675 juta untuk projek berkenaan bagi menghalang air masin dari membanjiri jalan pesisir, serta tidak memasuki kawasan pertanian.

"Di Sebuyau ini ada empat pakej iaitu A,D, E dan F yang kemudian kita bahagikan mengikuti fasa. Setelah tender diberikan kepada kontraktor, mereka perlu menyiapkan projek itu dalam tempoh 24 bulan," katanya.

Dalam perkembangan yang lain, Abang Johari berkata, antara projek lain yang sedang dilaksanakan di kawasan Sebuyau bagi meningkatkan sosioekonomi rakyat di kawasan itu adalah projek pembinaan Bandar Baru Sebuyau.

"Kita (kerajaan negeri) telah kenal pasti tapak atau kawasan untuk pembinaan bandar baru Sebuyau, dan kita jangkakan dalam tempoh lima tahun yang akan datang dengan siapnya projek jambatan Batang Lupar serta projek tebatan, sektor pelancongan juga turut akan membangun," ujarnya.

Projek Perumahan Bandar Baru Sebuyau akan dibangunkan di kawasan seluas 41.36 ekar (kira-kira 16.74 hektar), yang turut membabitkan pembinaan sejumlah 235 unit rumah mampu milik untuk penduduk tempatan.

Sementara itu, dalam satu kenyataan Lembaga Pembangunan dan Lindungan Tanah (LCDA) berhubung projek perumahan itu, kerja penyediaan tapak dan kerja tanah sedang giat dilaksanakan dengan kerja pembinaan 39 unit rumah bagi Fasa Pertama yang dijangka akan bermula pada suku pertama tahun 2022.

"Pembangunan projek perumahan Bandar Baru Sebuyau ini amat bertepatan dengan hasrat murni Kerajaan, untuk menyediakan rumah mampu milik yang lengkap dengan infrastruktur dan kemudahan sosial untuk penduduk di kawasan luar bandar," menurut kenyataan LCDA itu.

Selain daripada projek perumahan, Pelan Induk Bandar Baru Sebuyau yang telah diluluskan turut membabitkan komponen komersial seperti rumah kedai dua tingkat, rumah kedai tiga tingkat, medan selera, pasar tamu, premis industri kotej dan stesen minyak.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 6 November 2021 @ 4:18 PM