KEJADIAN pokok tumbang di Jalan Sultan Ismail.
KEJADIAN pokok tumbang di Jalan Sultan Ismail.
Mohammad Khairil Ashraf Mohd Khalid


Kuala Lumpur: Sebanyak 1,085 kes kejadian pokok tumbang direkodkan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) bermula Januari sehingga April tahun ini.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming berkata, sebanyak 4,828 kes pokok tumbang direkodkan di seluruh negara pada tahun 2023.

Beliau berkata, bilangan kes tertinggi direkodkan di Selangor membabitkan 953 kes, diikuti Perak (575 kes) dan Johor (523 kes).

Katanya, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) menggalakkan orang awam untuk bekerjasama dengan pihak berkuasa tempatan (PBT) bagi memaklumkan dan mendapatkan khidmat sokongan bersesuaian sekiranya terdapat kes pokok yang mendatangkan bahaya.

"Mangsa yang terbabit dengan kemalangan akibat pokok tumbang boleh mengemukakan permohonan pampasan bagi tuntutan ganti rugi melalui pihak PBT.

"Bagaimanapun, setiap tuntutan dikemukakan masih tertakluk kepada keputusan siasatan yang akan dijalankan oleh pihak insuran dilantik oleh PBT masing-masing," katanya dalam jawapan bertulis di Parlimen semalam.

Beliau berkata demikian menjawab pertanyaan Dr Siti Mastura Muhammad (PN-Kepala Batas) mengenai garis panduan penanaman pokok di tepi jalan di bawah seliaan KPKT, kekerapan pokok tumbang dan mengakibatkan kemalangan sepanjang tahun 2020-2024.

Siti Mastura turut bertanya mengenai jenis pampasan yang diterima pihak mangsa akibat pokok tumbang.

Mengulas lanjut, Kor Ming berkata, pihaknya kekal komited dan fokus dalam usaha membangunkan kawasan perbandaran mampan serta lestari.

Menurutnya, selaras Dasar Landskap Negara (DLN) menjadikan Malaysia Negara Taman Terindah, pembangunan dan pengurusan landskap yang komprehensif, berfungsi, selamat serta kaya biodiversiti bandar terus menjadi keutamaan kerajaan.

Katanya, KPKT melalui Jabatan Landskap Negara (JLN) dan PBT seluruh negara juga telah melaksanakan Program Penghijauan Negara dengan menanam pokok teduhan bagi menyediakan kawasan perbandaran yang berdaya huni, teduh, menerapkan aspek terapi, indah serta bagi menangani impak daripada perubahan iklim.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 12 Julai 2024 @ 10:27 AM