RAKYAT Palestin melalui bangunan yang musnah selepas tentera Israel berundur dari kejiranan Shujaiya, timur Bandar Gaza. FOTO AFP
RAKYAT Palestin melalui bangunan yang musnah selepas tentera Israel berundur dari kejiranan Shujaiya, timur Bandar Gaza. FOTO AFP
AFP

Gaza: Pertempuran dan pengeboman terus menggegarkan bandar terbesar di Gaza semalam, walaupun Israel mengisytiharkan penamatan operasinya di bahagian timur bandar itu yang menyaksikan pertempuran paling sengit di wilayah terkepung itu, dalam beberapa bulan lalu.

Peningkatan pertempuran, pengeboman dan perpindahan di Bandar Gaza itu ketika rundingan sedang dijalankan di Qatar bagi mencapai gencatan senjata dan pembebasan tebusan selepas lebih sembilan bulan perang berlangsung.

Perdana Menteri, Benjamin Netanyahu, semalam, menuntut Israel mengekalkan kawalan wilayah utama Gaza di sepanjang sempadan dengan Mesir sekali gus menjadi satu syarat yang bercanggah dengan pendirian Palestin bahawa rejim itu mesti berundur dari semua wilayah Gaza selepas gencatan senjata.

Palestin berkata, tentera Israel sudah berundur dari daerah Shujaiya di timur Bandar Gaza dan meninggalkan lebih 300 unit kediaman dan 100 premis perniagaan yang musnah.

Saksi berkata, kereta kebal dan tentera sudah bergerak ke bahagian lain di Bandar Gaza. Wartawan AFP melaporkan terdapat serangan udara di kawasan kejiranan Sabra ketika pejuang Hamas terbabit dengan pertempuran hebat dengan tentera Israel di Tel al-Hawa.

Pejuang Hamas melaporkan 45 serangan udara di kawasan Bandar Gaza, serta di Rafah, bandar paling selatan Gaza, di mana Netanyahu berkata, fasa perang sengit hampir berakhir.

Pejabat Netanyahu mengesahkan pasukan perundingnya diketuai Ketua Perisikan Mossad, David Barnea sudah kembali ke Israel selepas perbincangan dengan pengantara di Doha, semalam.

Bercakap selepas pasukan itu kembali, Netanyahu berkata, Israel memerlukan kawalan ke atas sempadan Palestin di sempadan Gaza dengan Mesir untuk menghentikan senjata sampai ke Palestin.

Beliau menambah Israel juga mesti dibenarkan untuk terus berjuang sehingga matlamat perangnya bagi memusnahkan Hamas serta membawa pulang semua tebusannya tercapai.

Satu delegasi baharu menuju ke Kaherah, semalam, untuk meneruskan rundingan, kata pejabat Netanyahu.

Pejuang Hamas bagaimanapun berkata, pihaknya tidak dimaklumkan apa-apa perkembangan baharu daripada rundingan itu dan berkata, Israel melambatkan taktik yang bertujuan untuk sabotaj usaha gencatan senjata.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 12 Julai 2024 @ 11:09 AM