GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
Agensi

Beijing: Wanita berusia 34 tahun 'terperangkap' di dalam hospital psikiatri di China, kira-kira sedekad, selepas dia disahkan sihat kerana keluarganya enggan menandatangani kertas pelepasannya dari pusat rawatan itu.

South China Morning Post (SCMP) melaporkan, wanita itu dimasukkan ke hospital psikiatri berkenaan ketika berusia 20 tahun, dan kekal terkurung lebih 10 tahun walaupun selepas dia pulih kerana keengganan keluarganya itu.

Insiden terbongkar melalui catatan dalam talian oleh seseorang tanpa mendedahkan nama yang mempunyai maklumat dalaman apabila mendedahkan bahawa wanita itu pada mulanya dihantar ke Hospital Xiamen Xianyue di wilayah Fujian, tenggara China, oleh ibu bapanya.

Walaupun memenuhi kriteria pelepasan dan rayuannya berulang kali untuk dibebaskan dari hospital itu, wanita itu kekal di tempat rawatan itu kerana ibu bapanya enggan menandatangani dokumen pelepasan.

Melalui maklumat 'orang dalam' iaitu seorang lelaki yang isterinya mengalami gangguan bipolar dan dirawat di hospital yang sama sejak 1996, bertemu dengan wanita muda itu.

"Kira-kira empat atau lima tahun lalu, ketika saya pergi melawat isteri saya, seorang wanita muda menyapa saya, mengatakan dia mengenali saya. Saya kemudian mendapat tahu bahawa kami berasal dari kampung sama.

"Doktor memberitahu saya dia pulih dan boleh dibenarkan keluar, tetapi keluarganya tidak pernah datang untuk membawanya pulang," katanya.

Lelaki itu kemudian menghubungi ibu saudara wanita itu yang kemudian mendakwa terdapat isu keluarga menyebabkan ibu bapa wanita berkenaan mungkin tidak mahu anak mereka keluar segera dari hospital.

Perkara itu timbul semula pada 22 Mei tahun ini ketika lelaki itu berada di hospital untuk memproses pelepasan isterinya.

"Isteri saya berkata, semasa dimasukkan ke hospital, wanita muda itu sering membantu jururawat mengagihkan makanan dan membantu tugas lain di hospital. Dia memberitahu isteri saya bahawa doktor mengatakan dia tidak lagi memerlukan ubat dan pada dasarnya seperti orang biasa," kata lelaki itu.

Didorong untuk membela nasib wanita berkenaan, lelaki itu memfailkan aduan pada 23 Mei lalu melalui talian hotline perkhidmatan Kerajaan Rakyat Perbandaran Xiamen, meminta Persekutuan Wanita Xiamen membantu wanita itu.

Kakitangan hospital dan Persekutuan Wanita Xiamen mengesahkan bahawa wanita itu memenuhi piawaian bagi pelepasan.

Bagaimanapun, oleh kerana kemasukannya adalah secara sukarela, pelepasannya memerlukan persetujuan keluarga.

Pada 6 Jun lalu, Persekutuan Wanita Xiamen mendedahkan mereka mengadakan perbualan dengan ibu wanita itu, yang mendakwa anak perempuannya kini adalah tanggungjawab bapa dan dia tidak mahu membincangkan isu berkenaan.

Pada 12 Jun lalu, wanita itu akhirnya dibenarkan keluar dari hospital. Dia diberi pekerjaan dalam pengurusan harta dan diberikan bantuan untuk menyesuaikan diri dengan kehidupan dalam masyarakat semula.

Catatan asal daripada lelaki yang isterinya berada di hospital yang sama, sudah dipadamkan. Maklumat aduan di laman web rasmi Kerajaan Perbandaran Xiamen tidak lagi boleh diakses.

Tidak jelas sama ada wanita itu akan mendapat sebarang pampasan dan kes itu mencetuskan kemarahan di media sosial China.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 12 Julai 2024 @ 11:29 AM