ABANG Johari. FOTO arkib NSTP
ABANG Johari. FOTO arkib NSTP
Melvin Joni


GABUNGAN Parti Sarawak (GPS) tidak akan berkompromi dengan DAP disebabkan layanan ‘tidak baik’ pemimpin parti itu terhadap Sarawak ketika menjadi Kerajaan Persekutuan.

Sehubungan itu, Ketua Menteri yang juga Pengerusi GPS, Datuk Patinggi Abang Johari Abang Openg menegaskan gabungan itu berpendirian supaya tidak bekerjasama dengan DAP.

“Kita tidak dapat bekerjasama dengan DAP kerana mereka berniat tidak baik dan menuduh Sarawak akan bankrap,” katanya pada Sesi Townhall Berambeh Ngan CM Abg Jo di Simunjan, hari ini.

Abang Johari berkata, akibat layanan pemimpin DAP itu, banyak projek infrastruktur Sarawak juga ditarik balik, antaranya pembinaan jambatan yang menghubungkan sepanjang kawasan pesisir pantai, sehingga memaksa kerajaan negeri menggunakan dana negeri untuk melaksanakan projek itu.

“Mereka (DAP Sarawak) minta tolong dan merayu perkara yang lepas dilupakan... mana boleh dilupakan begitu saja, mereka sudah kata negeri akan bankrap, projek untuk negeri ditarik balik,” katanya.

Selain itu, Abang Johari berkata, pemimpin DAP juga hampir menyebabkan masyarakat di Sarawak berpecah-belah menerusi penubuhan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung Persekutuan (MPKKP).

“Mereka hendak menubuhkan MPKKP untuk memecah-belahkan orang kampung, niat mereka tidak betul dan nasib baik Kerajaan Persekutuan sudah bertukar, maka MPKKP tidak ada lagi,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan Desas-desus pakatan baharu
  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 8 Mac 2020 @ 4:06 PM