Julaihi meninjau pembinaan jalan pesisir di kawasan pedalaman dan luar bandar di Kuching. FOTO Norsyazwani Nasri
Julaihi meninjau pembinaan jalan pesisir di kawasan pedalaman dan luar bandar di Kuching. FOTO Norsyazwani Nasri
Norsyazwani Nasri


SARAWAK bakal memiliki dua jambatan sungai terpanjang di Malaysia, masing-masing Jambatan Batang Lupar dan Jambatan Batang Paloh, tidak lama lagi.

Ia sebahagian daripada komponen pelengkap jalan pesisir sepanjang 900 kilometer menghubungkan wilayah selatan dan utara negeri ini, khususnya di kawasan pesisir Bumi Kenyalang.

Difahamkan, Jambatan Batang Lupar dijangka mencecah jarak antara 4.5 hingga lima kilometer, manakala Jambatan Batang Paloh berukuran 1.7 kilometer panjang.

Sebuah lagi jambatan yang sedang dirancang pembinaannya ialah Jambatan Muara Lassa mencecah jarak 2.43 kilometer.

Semua jambatan baharu ini dibina dua lorong yang dijangka mampu memudahkan pergerakan penduduk di kawasan pesisir.

Menteri Muda Pembangunan Infrastruktur (Jalan Pesisir) Sarawak, Datuk Julaihi Narawi berkata, inisiatif itu memperlihatkan komitmen kerajaan negeri membawa kemajuan kepada rakyat, terutama di kawasan pedalaman dan luar bandar.

Malah, katanya, kerajaan negeri di bawah kepemimpinan Gabungan Parti Sarawak (GPS) yakin hanya melalui kaedah itu, pembangunan di kawasan pedalaman dan luar bandar dapat dipercepatkan, begitu juga pelaksanaan pelbagai projek lain di bawah Program Transformasi Luar Bandar (RTP).

“Hanya melalui sistem perhubungan yang cekap, khususnya pembinaan jalan pesisir ini bersama jambatan penghubung, kita dapat mewujudkan akses kepada kemajuan di sesebuah kawasan pedalaman dan luar bandar.

“Ini secara tidak langsung merangsang pertumbuhan sosio-ekonomi setempat, seterusnya meningkatkan taraf hidup penduduk, selain memudahkan pergerakan kehidupan harian mereka,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Julaihi yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sebuyau berkata, Kerajaan Sarawak mahu menghubungkan jalan pesisir itu dengan semua penempatan di kawasan pesisir, begitu juga meningkatkan sistem perhubungan darat di kawasan pedalaman dan luar bandar lain di negeri ini.

“Ini termasuk pembinaan Jambatan Batang Paloh akan menjadi jambatan kedua terpanjang di Sarawak selepas Jambatan Batang Lupar,” katanya.

Beliau berkata, semua projek pembinaan jambatan di sepanjang jajaran jalan pesisir di Sarawak kini diambilalih oleh kerajaan negeri selepas ditangguhkan Kerajaan Persekutuan atas alasan kekangan kewangan.

“Kerajaan Sarawak meneruskan semua projek itu, di atas inisiatif digerakkan Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Abang Openg kerana menyedari kepentingannya yang amat diperlukan oleh rakyat,” katanya.

Sementara itu, Kampung Tekajong, Kampung Salah Kecil dan Kampung Penuai di Tanjung Manis akan dihubungkan melalui projek jalan pesisir itu.

Katanya, kerja-kerja pembinaan laluan sepanjang 16.1 kilometer itu bermula pertengahan tahun lalu dan dijangka siap menjelang pertengahan tahun depan membabitkan peruntukan RM19.3 juta.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 1 Februari 2019 @ 11:39 AM