SEJUMLAH pekerja warga asing di sebuah kilang makanan bersembunyi di dalam bilik sejuk semasa serbuan dijalankan.
SEJUMLAH pekerja warga asing di sebuah kilang makanan bersembunyi di dalam bilik sejuk semasa serbuan dijalankan.
Mohd Haris Fadli Mohd Fadzil


Shah Alam: Akibat ketakutan, sejumlah pendatang asing tanpa izin (Pati) bersembunyi di dalam bilik sejuk dalam serbuan ke atas sebuah kilang makanan di Jalan Anggerik, Kota Kemuning di sini, semalam.

Bagaimanapun, taktik mereka tidak berjaya dan kesemua Pati terbabit, ditahan.

Pengarah Imigresen Selangor, Khairrul Aminus Kamaruddin berkata, operasi bermula 12 tengah hari itu dilaksanakan di beberapa lokasi di sekitar Kota Kemuning dan Seksyen 2 di sini.

"Seramai 64 individu diperiksa dalam operasi itu yang mana 33 daripadanya ditahan kerana tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah.

"Semakan mendapati Pati terdiri daripada 15 warga Indonesia, Bangladesh (12), India (3) dan masing-masing seorang bagi warga Thailand, Syria dan Pakistan.

"Siasatan mendapati Pati terbabit bekerja sebagai tukang masak, jurujual pakaian dan makanan serta pembungkus kuih sejuk beku," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, kesemua ditahan mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 dan Seksyen 15 (1)(c) akta yang sama atas kesalahan tinggal lebih masa, dan tidak memiliki dokumen perjalanan.

Katanya, kesemua tahanan dibawa ke Depot Tahanan Imigresen Semenyih bagi tindakan lanjut.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 12 Julai 2024 @ 10:31 AM