ANTARA ular yang disembunyikan dalam seluar lelaki berkenaan. FOTO Kastam China
ANTARA ular yang disembunyikan dalam seluar lelaki berkenaan. FOTO Kastam China
AFP

Beijing: Lelaki ditangkap ketika cuba menyeludup lebih 100 ular hidup ke tanah besar China dengan memasukkan reptilia itu ke dalam seluarnya, menurut pihak berkuasa kastam.

pengembara yang tidak dinamakan itu dihalang oleh pegawai kastam ketika dia cuba menyelinap keluar dari Hong Kong ke bandar sempadan Shenzhen, kata Kastam China dalam satu kenyataan pada 10 Julai.

"Selepas diperiksa, pegawai kastam mendapati poket seluar yang dipakai penumpang itu dibungkus dengan enam beg bertali kanvas dan dilekatkan dengan pita.

"Sebaik dibuka, setiap beg didapati mengandungi ular hidup dalam pelbagai bentuk, saiz dan warna," kata kenyataan itu.

Kenyataan itu berkata, pegawai merampas 104 reptilia bersisik itu termasuk ular susu dan ular jagung, kebanyakannya adalah bukan spesies tempatan.

Video yang disertakan menunjukkan dua pegawai di sempadan mengintai ke dalam beg plastik lut sinar yang dipenuhi ular merah, merah jambu dan putih yang menggeliat.

China adalah satu daripada hab pemerdagangan haiwan terbesar di dunia, tetapi pihak berkuasa sudah giat membanteras perdagangan haram itu sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Undang-undang biosekuriti dan kawalan penyakit negara melarang orang ramai daripada membawa masuk spesis bukan tempatan tanpa kebenaran.

"Mereka yang melanggar peraturan akan... bertanggungjawab mengikut undang-undang," kata pihak berkuasa kastam, tanpa menyatakan hukuman terhadap lelaki itu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 12 Julai 2024 @ 10:24 AM