Foto hiasan
Foto hiasan
Melvin Joni

SARAWAK akan menggunakan sepenuhnya peruntukan sebanyak RM2.8 bilion tahun ini untuk melaksanakan projek Grid Bekalan Air Fasa Pertama.

Peruntukan dalam Belanjawan 2019 itu adalah bagi melaksanakan projek sumber air mentah, loji rawatan, sistem agihan, kerja menambah baik, penukaran paip serta inisiatif pemodenan dan bekalan Air Luar Bandar Alternatif Sarawak (SAWAS).

Ketua Menteri Sarawak Datuk Patinggi Abang Johari Abang Openg berkata, pelaksanaan projek yang ditetapkan dalam tempoh dua tahun itu kini berjalan lancar dan sebahagiannya sudah siap.

"Memang ia akan mengambil masa. Tahun 2019 kita mulakan sedikit dan tahun ini, kita gunakan habis RM2.8 bilion ini.

"Ada yang sudah siap seperti paip sudah menyeberang Jambatan Samarahan, jadi dalam masa dua atau tiga bulan semua kampung dalam daerah Asajaya akan ada air," katanya di Malam Apresiasi Jabatan Bekalan Air Luar Bandar (JBALB) di Kuching malam tadi.

Hadir sama Menteri Utiliti negeri Datuk Seri Dr Stephen Rundi Utom dan Menteri Muda Bekalan Air negeri Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi.

Beliau berkata, grid bekalan air itu akan turut dibangunkan di sepanjang kawasan pesisir pantai negeri berkenaan, yang mana pembinaan jambatan merentasi sungai besar akan memudahkan pelaksanaannya.

"Kita bina Jambatan Batang Lassa, air boleh dibekal ke Daro. Kita juga bina Jambatan Paloh, air boleh dibekal ke Tanjung Manis," katanya.

Abang Johari berkata, grid bekalan air sebelum ini yang membekalkan air terawat ke kawasan pesisir adalah dipasang di dasar sungai yang berlumpur.

Katanya, adalah sukar untuk mengesan masalah itu jika berlaku kebocoran atau masalah yang menyebabkan bekalan air terjejas.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 January 2020 @ 2:22 PM