BIDOGLIO juga tidak menolak aksi beraksi di tempat lawan bakal beri ruang bagi pemain bergerak. FOTO Ihsan Johor Southern Tigers
BIDOGLIO juga tidak menolak aksi beraksi di tempat lawan bakal beri ruang bagi pemain bergerak. FOTO Ihsan Johor Southern Tigers
Rizar Mohd Noor


Johor Bahru: Pengendali Johor Darul Ta'zim (JDT), Hector Bidoglio menuntut barisan pemain yang bakal diturunkan berdepan Sabah FC dalam aksi Liga Super di Stadium Likas, Kota Kinabalu, malam esok mengekalkan corak permainan berpasukan.

Bukan menidakkan skil individu yang ada di kalangan pemain skuad Harimau Selatan, sebaliknya pengendali kelahiran Argentina menyifatkan corak permainan berpasukan akan membentuk satu unit yang lebih ampuh bagi menguasai permainan.

Sambil menegaskan pertembungan menentang skuad kendalian Datuk Ong Kim Swee yang kini berada di tangga keempat liga tatkala beraksi di gelanggang lawan pasti tampak sukar buat JDT tapi persiapan rapi sudah dibuat untuk menghadapi cabaran sepanjang 90 minit permainan.

"Apa yang penting dalam bola sepak adalah bermain sebagai satu pasukan, pamerkan persembahan yang dinamik untuk bergelar pemenang dalam aksi yang kami hadapi nanti.

"Kami perlu kekal bermain dengan momentum dan dinamik seperti apa yang kami lakukan ketika bermain di laman sendiri, malah kami juga harus memberi fokus terhadap diri sendiri dan tidak terlalu memikirkan pasukan lawan."

"Tidak dinafikan Sabah adalah pasukan yang hebat tapi kami perlu tenang dan tidak melakukan kesilapan mudah apabila beraksi nanti kerana tiga mata dan mengintai kemenangan kelima berturut-turut dalam saingan liga amat penting," katanya.

Bidoglio juga tidak menolak aksi beraksi di tempat lawan bakal beri ruang bagi pemain bergerak dan mengatur serangan tatkala pasukan lawan sudah tentu enggan bermain secara bertahan kerana mereka juga mahu kemenangan.

Tambahnya lagi, apa yang perlu diperbaiki akan terus menjadi agenda utama pasukan sebelum menentang Sabah dan agak gembira selepas pemain juga bebas daripada kecederaan selain kelibat Fernando Forestieri yang kembali menjalani latihan bersama skuad itu.

"Sama ada Fernando akan tersenarai dalam barisan pemain menentang Sabah masih belum dapat diputuskan dan apa yang penting pemain harus membentuk corak permainan berintensiti tinggi dengan mengekalkan set piece yang lebih efektif," kata Bidoglio.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 12 Julai 2024 @ 11:32 AM