Abang Johari bersama warga Sri Aman dalam majlis makan malam sempena Program Pemimpin Bersama Rakyat. FOTO Melvin Joni
Abang Johari bersama warga Sri Aman dalam majlis makan malam sempena Program Pemimpin Bersama Rakyat. FOTO Melvin Joni
Melvin Joni


JAWATANKUASA Pembangunan Sri Aman (SADA) diwujudkan bagi merancakkan pembangunan kawasan Sri Aman.

Dipengerusikan Ahli Parlimen Batang Lupar, Datuk Seri Rohani Abdul Karim, SADA bertanggungjawab untuk memastikan pembangunan di kawasan itu dilaksanakan dengan teratur.

Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Abang Openg berkata, penubuhan jawatankuasa itu dibuat hasil perbincangan dan persetujuan dengan semua wakil rakyat di kawasan Sri Aman.

“Jawatankuasa itu akan menyelaras pembangunan Sri Aman dalam aspek pertanian, pelancongan, perhubungan, infrastruktur, bekalan air dan elektrik,” katanya pada majlis makan malam sempena Program Pemimpin Bersama Rakyat bagi Bahagian Sri Aman, di Dewan Suarah Sri Aman, malam tadi.

Turut hadir, Timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar Douglas Uggah Embas; Menteri Utiliti Datuk Seri Stephen Rundi Utom serta Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak, Datuk Seri Fatimah Abdullah.

Mengulas lanjut, Abang Johari berkata SADA akan membantu kerajaan Sarawak untuk melihat langkah terbaik bagi membangunkan sektor-sektor yang sesuai dengan potensi Sri Aman.

Katanya, Sri Aman kini berpotensi dibangunkan kerana ia bukan sahaja dilengkapi dengan jalan raya baharu Pan Borneo tetapi turut dihubungkan melalui jalan pesisir pantai, dengan kerajaan Sarawak akan membina Jambatan Batang Lupar berhampiran Sri Aman, yang kini dalam proses tender.

Selain itu, beliau berkata SADA juga akan dibantu oleh Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Amar Jaul Samion serta Unit Perancang Ekonomi (EPU) termasuk jabatan dan agensi kerajaan yang berkaitan.

“Saya memberi jaminan Sri Aman ini akan terus dibangunkan, dengan projek bernilai kira-kira RM30 juta sudah diluluskan untuk menaik taraf pekan Simanggang sahaja.

“Kita juga meluluskan beberapa projek termasuk Tebingan Sri Aman dan sekarang merancang membina Taman Aman seluas tujuh hektar, yang akan dihubungkan dengan Rumah Sri Aman,” katanya.

Rumah Sri Aman adalah rumah bersejarah yang menjadi lokasi perjanjian peletakan senjata Parti Komunis Kalimantan Utara (PKKU) pada 1973.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 20 January 2020 @ 3:15 PM