PENDUDUK Perumahan Awam Sri Pahang, Kuala Lumpur melakukan kerja sanitasi awam susulan wabak Covid-19 di kawasan itu. FOTO Ihsan Abdullah Din.
PENDUDUK Perumahan Awam Sri Pahang, Kuala Lumpur melakukan kerja sanitasi awam susulan wabak Covid-19 di kawasan itu. FOTO Ihsan Abdullah Din.
Yusmizal Dolah Aling


PENDUDUK Perumahan Awam Sri Pahang di Lembah Pantai, Kuala Lumpur, melakukan sanitasi awam, semalam susulan terdapat kes positif Covid-19 di penempatan itu.

Inisiatif itu diambil penduduk khususnya belia dengan membersihkan keseluruhan kawasan terbabit.

Wakil penduduk, Abdullah Din, 44, berkata, kes pertama positif Covid-19 dikesan minggu lalu, dan kes kedua semalam menyebabkan penduduk diarahkan melakukan saringan oleh pihak berkuasa.

Selain itu, katanya, penduduk turut melakukan sanitasi awam dan ia dilakukan dengan kerjasama sebuah syarikat tempatan.

“Kita membersihkan lif, tangga dan kawasan sekitar. Alhamdulillah penduduk memberikan kerjasama yang baik.

“Susulan dua kes itu, tiga penduduk juga diarahkan menjalani kuarantin kerana mempunyai kontak dengan pesakit,” katanya ketika dihubungi Harian Metro, hari ini.

Sementara itu, Ahli Parlimen Lembah Pantai Fahmi Fadzil turut berkongsi perkembangan itu di laman Twitter miliknya.

“Saya dimaklumkan dua kes positif Covid-19 di PA (Perumahan Awam) Sri Pahang, iaitu di blok 2 dan 3, yang dibawa ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) dan Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM).

“Pembersihan terutama di permukaan yang sering disentuh (rel, butang lif dan lain-lain) sedang dibuat,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 5 April 2020 @ 6:20 PM