ANGGOTA Bomba dan Penyelamat melakukan sanitasi di Perumahan Taman Mahkota Aman. FOTO Mohd Rafi Mamat
ANGGOTA Bomba dan Penyelamat melakukan sanitasi di Perumahan Taman Mahkota Aman. FOTO Mohd Rafi Mamat
Mohd Rafi Mamat


OPERASI sanitasi di Pahang kini mencapai 100 peratus, menerusi 250 operasi yang dijalankan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) negeri itu.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Pahang Abd Rahim Muda berkata, tumpuan prosedur nyah kuman itu adalah kemudahan awam, pasar, pejabat kerajaan dan kawasan perumahan yang dikelaskan zon merah.

“Kita akan terus melakukan operasi ini di kawasan positif Covid-19, yang mana ada peningkatan kes dan kontak dengan individu disahkan positif, mengikut arahan Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB).

“Usaha semua pihak adalah untuk memutuskan rantaian pandemik berkenaan, sebab itu sanitasi dilakukan di kawasan yang sudah dikenal pasti,” katanya selepas meninjau operasi sanitasi di Perumahan Taman Mahkota Aman di Kuantan, hari ini.

Abd Rahim berkata, sanitasi dilakukan mengikut prosedur operasi standard (SOP) dan pengawasan Kementerian Kesihatan (KKM) dan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT).

Dalam pada itu, beliau memberitahu terdapat sembilan kawasan titik panas Covid-19 di Kuantan iaitu Taman Mahkota Aman; Taman Mahkota Permai; Taman Indera Sempurna; Taman Sri Inderapura; Taman Pandan Perdana; Indera Mahkota 2 dan Felda Bukit Goh di Jaya Gading selain Balok.

Katanya, penduduk di kawasan terbabit dinasihatkan supaya terus berada di rumah dan patuh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi mengelak penularan wabak.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 April 2020 @ 3:46 PM