BIDOGLIO mengakui JDT tidak berdepan jalan yang mudah ketika menentang Sabah. FOTO MOHD ADAM ARININ
BIDOGLIO mengakui JDT tidak berdepan jalan yang mudah ketika menentang Sabah. FOTO MOHD ADAM ARININ
Izwan Abdullah


Kota Kinabalu: Jaringan Sabah FC pada awal separuh masa kedua saingan Liga Super di Stadium Likas, di sini, malam tadi tidak mematahkan semangat Johor Darul Ta'zim (JDT) untuk terus menguasai permainan.

Pengendalinya, Hector Pablo Bidoglio, berkata walaupun Sabah merapatkan kedudukan 2-1 pada minit ke-51, anak buahnya tetap bangkit melawan sehingga akhirnya dapat melebarkan jaringan pada minit kecederaan.

"JDT menguasai permainan, jadi apabila kita dibolosi satu gol, pemain bangkit semula dan hasilnya kita mendapat sepakan penalti untuk menyudahkan perlawanan dengan baik," katanya pada sidang media selepas perlawanan malam tadi.

JDT mendahului jaringan melalui Romel Oswaldo Morales pada minit ke-20 sebelum pemain berjersi 19 itu menambah satu lagi gol pada minit ke-43 untuk Harimau Selatan mendahului 2-0 pada separuh masa pertama.

Sabah kemudian merapatkan jaringan kepada 2-1 melalui sepakan penalti Gabriel Peres pada minit ke-51 sebelum penyerang JDT, Bergson Gustavo Da Silva melebarkan jaringan kepada 3-1, juga melalui sepakan penalti pada minit kecederaan.

Bidoglio mengakui JDT tidak berdepan jalan yang mudah ketika menentang Sabah, namun persembahan baik anak buahnya membolehkan pasukan melakar keputusan yang positif.

"Sebelum ini kita tahu permainan menentang Sabah pasti sukar, tapi pemain kita menunjukkan persembahan yang baik untuk mengatasi pasukan lawan," katanya.

Kemenangan kelima JDT itu sepanjang aksi Liga Super musim ini sekali gus mengekalkan penguasaan Harimau Selatan sebagai pendahulu liga dengan mengumpul 15 mata setakat ini.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 14 Julai 2024 @ 2:21 PM