KHALED Nordin berucap pada Mesyuarat Perwakilan Umno Bahagian Parit di Hotel Seri Iskandar .FOTO L Manimaran
KHALED Nordin berucap pada Mesyuarat Perwakilan Umno Bahagian Parit di Hotel Seri Iskandar .FOTO L Manimaran
Muhamad Lokman Khairi

Seri Iskandar: Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berharap Kuwait dapat menimbang permintaan untuk menjual jet pejuang F/A-18 Hornet kepada Malaysia.

Beliau berkata, hasrat itu sudah disampaikan ketika lawatan pasukan teknikal Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) ke negara Asia Barat itu pada Jun lalu untuk membuat penilaian yang sewajarnya.

"Memang kita ada menaruh minat untuk mendapatkan jet pejuang itu.

"Kita dapati ia sesuai untuk kegunaan dan ia juga selari dengan perancangan kita untuk mempunyai aset tentera udara yang boleh menampung operasi dan cabaran dalam kawasan negara.

"Namun, kita tentunya memerlukan persetujuan kerajaan Kuwait, jadi kita dalam proses (berbincang), berdoa dan berharap mereka boleh menimbang permintaan kita," katanya ketika ditemui selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan Umno Bahagian Parit, di sini, hari ini.

Terdahulu, Panglima TUDM, Jeneral Tan Sri Mohd Asghar Khan Goriman Khan dilaporkan berkata, pihaknya akan menubuhkan pasukan untuk lawatan teknikal ke Kuwait pada Jun, berkaitan program peningkatan keupayaan pesawat tempur F/A-18D (Hornet) yang dirangka khususnya bagi mendapatkan sejumlah pesawat terpakai jenis berkenaan dari negara itu.

Beliau dipetik berkata, hasil lawatan akan menentukan jumlah sebenar pesawat yang diperlukan, berbanding perolehan yang dirancang iaitu 33 pesawat F/A-18C/D milik Kuwait yang masih dalam keadaan baik serta mempunyai waktu jam operasi yang rendah berbanding pesawat Hornet TUDM sedia ada.

Dalam berkembangan lain, Mohamed Khaled yang juga Naib Presiden Umno berkata, keputusan sama ada membeli atau melanjutkan tempoh sewaan empat helikopter Leonardo AW 139 yang digunakan bagi menggantikan helikopter Sikorsky S-61 Nuri adalah bergantung kepada kedudukan kewangan negara.

Menurutnya, TUDM secara dasar akan memperoleh aset helikopter baharu bagi memastikan kesiapsiagaan aset supaya boleh menjaga keamanan serta kedaulatan negara.

"Kerajaan terutama Kementerian Kewangan sedang menimbang perkara-perkara ini.

"Pokoknya dengan kawasan rantau ini yang semakin dinamik dengan konflik yang berlaku semakin meningkat, maka Malaysia perlu siap siaga.

"Bukan untuk menyerang, tetapi hendak jaga kedaulatan dan pertahanan negara," katanya.

Untuk rekod, pengoperasian keempat-empat helikopter Leonardo AW 139 itu berkonsepkan 'Government Operate, Company Own and Maintain' (GOCOM) itu dikendalikan oleh Skuadron No 3.

Sewaan helikopter itu dilaksanakan bagi menampung segala tugasan Nuri yang tamat operasi selaras keputusan Kabinet pada 7 Ogos 2019.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 14 Julai 2024 @ 2:57 PM